Catat hampir 300 kes COVID-19, kilang di Batu Berendam diarah tutup

Masa Membaca:57 Saat

AYER KEROH 3 Jun – Sebuah kilang elektronik di Batu Berendam yang mencetus Kluster Industri Batu Berendam diarah tutup susulan pertambahan mendadak kes positif COVID-19 membabitkan pekerjanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, kilang elektronik itu ditutup seminggu bermula semalam hingga Selasa depan, bagi kerja-kerja sanitasi dan saringan membabitkan pekerjanya.

Setakat semalam, ujarnya, sebanyak 299 kes positif COVID-19 telah direkodkan di kilang berkenaan.

“Kilang itu diarah tutup serta merta selama seminggu bermula semalam selepas merekodkan 299 kes positif COVID-19.

“Ia bukan sahaja membabitkan pekerja kilang, malah turut menular dalam kalangan keluarga,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, mengikut data dikeluarkan di Facebook rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, hari ini, terdapat pertambahan 28 kes positif baharu membabitkan kluster berkenaan menjadikan kes keseluruhan menjadi 327 kes.

Untuk rekod, Kluster Industri Batu Berendam mula dikesan pada 22 Mei lalu bermula daripada kes indeks seorang wanita warganegara Malaysia berumur 20 tahun hasil saringan individu bergejala.

Wanita itu dikatakan mula bergejala pada 8 Mei lalu dan kluster berkenaan diklasifikasikan sebagai sporadik sebelum merebak ke tempat kerja.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

770
Kongsi :
Previous post ‘Tak semonggah boto perangai ko jang!’
Next post Kluster kilang sumbang kes positif harian tertinggi
Ubah saiz-+=