Serangan monyet makin menjadi-jadi

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER LIMAU 3 Julai – Masalah pencerobohan monyet di kediaman dan kebun penduduk Kampung Sungai Jerneh, Lubok Cina di sini semakin menjadi-jadi sejak beberapa minggu lalu berikutan kekurangan bahan makanan di habitat haiwan berkenaan.

Kerakusan haiwan liar itu mencuri makanan bukan setakat di kebun buah-buahan penduduk, malah yang terbaru ialah ‘serangan’ di dapur pasangan suami isteri, Jaafar Atan, 60, dan Norini Isha, 54 semalam.

Dalam kejadian antara jam 8 hingga 11.45 pagi itu, dapur rumah mereka diselongkar sekumpulan monyet yang kelaparan dan menjadikan bahan makanan dalam dapur itu sebagai sasaran.

Norini berkata, beliau dan suami keluar rumah untuk menikmati sarapan sebelum membeli ikan dan sayur di pekan Lubok Cina pada jam 8 pagi manakala dua anak mereka sudah ke tempat kerja masing-masing.

“Kami tiba di rumah kira-kira jam 12 tengah hari dan sebaik sahaja tiba di dapur, kami amat terkejut apabila mendapati pinggan mangkuk, periuk belanga dan bermacam-macam lagi
barangan di dapur sudah berterabur.

“Sisa makanan malam tadi yang masih ada dalam periuk seperti sayur dan ikan, habis berterabur di atas lantai dan meja akibat diselongkar oleh cik nyet yang kelaparan,” katanya ketika ditemui di kediamannya hari ini.

Beliau berkata, yang paling menyedihkan ialah ada tompokan najis monyet di beberapa tempat di lantai, dipercayai akibat haiwan itu memakan sayur pucuk ubi masak lemak cili api yang masih berbaki dalam periuk.

Katanya, monyet lazimnya cerdik untuk menilai cili padi yang masih mentah tetapi tidak mampu membezakan sayur yang sudah dimasak lemak cili padi.

“Selalunya cik nyet tidak usik cili padi yang belum dimasak kerana haiwan itu pernah mencuba memakannya sebelum ini tetapi terpaksa segera mencari air kerana kepedasan.

“Bagaimanapun, pucuk ubi masak lemak cili padi tidak dapat dibezakannya dan ia menyebabkan cik nyet sakit perut memakannya,” katanya.

Berikutan itu Norini dan suami terpaksa bersusah payah mengemaskan pinggan mangkuk, selain mengelap lantai yang dikotori najis haiwan liar itu.

Views:

719
Kongsi :
Previous post Kadar jangka pendek kekal stabil pada urus niaga pagi
Next post Loji WTE Sungai Udang dijangka siap 2023
Ubah saiz-+=