‘Cili centil’ sumber rezeki

Masa Membaca:2 Minit, 14 Saat

MERLIMAU 20 September – Jatuh sekali bukan penamat buat segala-galanya. Itulah prinsip yang dipegang bekas guru, Rosli Md Ramli, 53, sebaik menceburkan diri dalam bidang pertanian.

Mengakui dia pernah hampir terduduk apabila terpaksa menanggung kerugian mencecah ratusan ribu ringgit apabila tapak tanaman cili padi kampung atau cili centil diusahakannya dilanda banjir sebanyak lima kali.

Namun, dia enggan memilih kegagalan, sebaliknya bangkit lebih kuat dalam memastikan tanaman yang diusahakan itu berjaya.

Menurut bapa kepada tujuh anak itu, dia mula mengusahakan tanaman cili centil bermula dengan 10,000 polibeg pokok pada tahun 2018.

4
KEADAAN ladang fertigasi yang diusahakannya setiap kali hujan. Foto: MR. AZLI

Katanya, tanaman itu diusahakan di tapak seluas 0.8 hektar di Kampung Sungai Renggi, di sini, yang mana pada peringkat awal, dia mampu memperoleh hasil sehingga dua tan setiap bulan.

“Tanaman ini saya usahakan sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP). Namun apabila PKP dilaksanakan saya tidak dapat menjual hasil (cili padi centil) ini dan ia terpaksa dibiarkan berbuah dan menjadi kering.

“Selepas PKP tamat, baru saya aktif semula menanam cili pada tahun ini, namun nasib tidak menyebelahi saya apabila tanaman rosak akibat disebabkan banjir yang melanda sebanyak lima kali tahun ini.

“Meskipun terkesan, ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus berusaha menanam cili, sekarang saya ada pokok baharu sebanyak 3,000 polibeg, hasilnya akan diperoleh hujung bulan ini, saya harap ia akan memberi sinar baharu kepada keluarga saya,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di ladangnya.

3
ANTARA cili centil yang sudah boleh dituai. Foto: MR. AZLI

Menurut Roslin, semangat untuk terus berjuang perlu diterapkan dalam dirinya memandangkan bidang pertanian menjadi antara sumber pendapatan utama untuk menyara keluarga.

“Saya bertekad teruskan tanaman ini demi mencari nafkah keluarga. Selain itu, saya juga kembali bersemangat memandangkan ada di antara anak saya yang berminat dalam bidang pertanian, jadi saya perlu menunjukkan contoh yang baik.

“Jika dahulu saya ada 14 pekerja dan perlu membayar gaji termasuk baja sehingga RM30,000 sebulan, sekarang saya hanya menggaji dua pekerja memandangkan saya dan dua lagi anak turut membantu di ladang ini.

“Kalau ikutkan dengan kerugian yang ditanggung memang saya sudah tawar hati, tetapi terima kasih juga kepada Jabatan Pertanian Negeri Melaka yang membantu saya dengan memberi besi ‘batten’ untuk membuat para tanaman ini,” katanya.

7
HASIL tuaian yang bakal dijual kepada peraih. Foto: MR AZLI

Ditanya mengenai harapan, Rosli percaya, dia mampu kembali mengecapi era kegemilangan dalam bidang pertanian seperti sebelum ini yang mana dia pernah menjual hasil tanaman sebanyak 200 kilogram (kg) hanya dalam sehari.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1896
Kongsi :
Previous post 32 mangsa banjir dipindahkan di Alor Gajah
Next post Pemandu, dua penumpang maut bas ekspres terbabas
Ubah saiz-+=