Cili Kulai 461 ‘hobi’ lumayan Cikgu Khairul

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

KUALA LINGGI 14 Januari – ‘Tersungkur’ berkali-kali  dalam mengusahakan pertanian tidak pernah memadam minat seorang guru untuk terus berbudi kepada tanah di halaman sendiri.

Khairul Anuar Mohamad Rasib, 51 yang merupakan seorang pendidik di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tengah mengakui pengalaman menanam cili di halaman rumah arwah ibu dan bapanya itu bukanlah satu perkara yang mudah selepas berhempas pulas hampir 10 tahun.

Walaupun bidang pertanian sekadar hobinya pada waktu petang, kini 1,000 batang pokok cili menyubur di hadapan kediamannya sekali gus memberikan hasil lumayan dalam menjana pendapatan sampingan.

Katanya, tanaman cili baka Kulai 461 itu adalah inspirasi daripada sahabatnya yang juga seorang guru dan berjinak-jinak dalam aktiviti bercucuk tanam demi menambah pendapatan.

“Alhamdulillah, selepas berhempas-pulas sejak 2013, kini tanaman ini mampu menjana pendapatan sampingan sehingga hasil lebih kurang RM12,000 hingga RM18,000 cili terjual dalam sebulan.

“Dalam tempoh tiga hari seminggu saya mampu menuai kira-kira 600 kilogram (kg) cili dan proses ini berjalan setiap minggu dalam satu musim.

Meskipun berdepan pelbagai cabaran dan persepsi masyarakat, dia tidak lagi menoleh kebelakang dan bertekad menggapai kesungguhan demi memastikan hasil pertanian itu  turut dinikmati bersama arwah ibu dan bapanya.

“Kali kesembilan mencuba akhirnya pada 2015 saya berjaya mendapat hasil pertama saya, sebelum arwah emak meninggal dunia pada 2017 dia sempat merasa dan memetik tanaman di halaman ini.

“Ini merupakan satu kepuasan, keseronokan dan kenangan manis bagi saya untuk tetap meneruskan bidang pertanian ini,” katanya.

0fb10e02 8eb0 4418 9905 1d7394be90f3
HOBI menanam cili ternyata membawa pulangan lumayan selepas hampir 8 kali gagal dalam mencuba bidang itu seorang diri.

Hanya mengusahakan tanaman itu seorang diri, Khairul Anuar akan mengerjakan tanaman itu sebaik pulang dari sekolah sehingga ke lewat petang.

“Dalam dua jam sahaja saya boleh kutip 200 kg cili. Tapi itulah, tugas hakiki sebagai guru tidak akan dilupakan dan cabarannya kadangkala terpaksa meninggalkan tanaman ini seketika jika ada kursus atau mesyuarat di sekolah.

“Pertanian adalah minat saya sejak dulu lagi, meskipun cili jenis ini kadangkala rumit untuk menjaganya, namun saya tetap teruskan kerana ia banyak mengajar saya erti kesabaran dan sebagai terapi kepada diri saya selain menambah pendapatan.

“Cili ini mampu membesar sehingga lebih daripada sejengkal dan ia mendapat permintaan pasaran di Alor Gajah dan beberapa kawasan di Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6833
Kongsi :
Previous post Takwim bulanan Jualan Rahmah di laman web KPDN
Next post Jualan Ihsan Rahmah di Melaka, 24 Januari ini
Ubah saiz-+=