Takwim bulanan Jualan Rahmah di laman web KPDN

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

BANDA HILIR 14 Januari – Orang ramai boleh melayari laman sesawang Kementerian Perdagangan Dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri bagi memuat turun Takwim Bulanan Jualan Rahmah 2024.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya telah melancarkan takwim bulanan Jualan Rahmah bagi setiap kawasan Parlimen di seluruh negara.

Katanya, kewujudan takwim bulanan Jualan Rahmah 2024 itu merupakan usaha KPDN meluaskan lagi maklumat mengenai program terbabit kepada rakyat.

“Menerusi kajian impak Payung Rahmah yang dijalankan pada September hingga November tahun lalu, kita menerima maklum balas dari segi pelaksanaan ramai yang tidak tahu dan tidak dapat akses jadual terperinci mengenai Jualan Rahmah.

“Takwim bulanan program Jualan Rahmah kita paparkan setiap bulan jadual pelaksanaan mengikut lokasi di setiap parlimen.

“Inisiatif ini antara usaha untuk KPDN memperkasakan lagi Jualan Rahmah pada tahun 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi walkabout pemantauan penguatkuasaan di Jonker Walk, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin bersama timbalannya, Tuminah Kadi @Mohd Hashim dan Pengarah KPDN negeri, Norena Jaafar.

Mengulas lanjut, Armizan berkata pelbagai penambahbaikan akan dilakukan untuk mengekalkan momentum Jualan Rahmah.

“Selain daripada takwim bulanan, kita juga akan memperkenalkan pelbagai lagi program di bawah Payung Rahmah sebagai usaha memperkasakan inisiatif membantu rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1162
Kongsi :
Previous post MBMB pantau kebersihan tandas awam milik swasta
Next post Cili Kulai 461 ‘hobi’ lumayan Cikgu Khairul
Ubah saiz-+=