Sorting by

×

CINTA WARISAN BERMULA DI BANGKU SEKOLAH

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

DUYONG 18 Julai – Menyedari pentingnya menyemai rasa cinta terhadap sejarah sejak di bangku sekolah, Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) menganjurkan Program Santai Warisan bagi mendekatkan murid dengan khazanah budaya yang kian dilupakan.

Program diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Duyong pada Selasa lalu itu bersempena sambutan ulang tahun ke-17 pengiktirafan Melaka sebagai Bandaraya Warisan Dunia UNESCO dan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong.

Pengurus Besar PERZIM, Erne Hamsah berkata, pendekatan mendidik murid sekolah rendah dipilih sebagai langkah mendekati golongan akar umbi yang kurang pendedahan mengenai warisan budaya, selain kandungan sejarah yang hanya diperoleh menerusi buku teks.

“Ramai pelajar tidak begitu jelas tentang apa itu warisan budaya. Apabila ditanya, mereka kurang faham atau hanya tahu sedikit menerusi pembelajaran daripada buku teks.

“Jadi kita memberi mereka pengalaman secara langsung dengan aktiviti seperti demonstrasi masakan tradisional, pertandingan mewarna dan melukis, permainan tradisional seperti dam ular serta pameran berunsurkan budaya dan sejarah tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program tersebut yang disempurnakan Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, baru-baru ini.

Menurut Erne, murid-murid lebih mudah memahami dan menghargai sesuatu apabila mereka sendiri dapat merasai pengalaman tersebut secara praktikal dan bukan sekadar teori semata-mata.

“Kita mahu mereka bermain permainan tradisional, melihat seni masakan, menyentuh sendiri bahan sejarah. Inilah bentuk warisan tidak ketara yang semakin dilupakan dan perlu dihidupkan semula.

“Program seumpama ini bukan terhad kepada acara tahunan sahaja, malah PERZIM merancang penganjuran berterusan termasuk lawatan ke muzium, aktiviti pembelajaran luar bilik darjah dan bengkel sejarah interaktif.

“Walaupun program ini singkat, kita akan perluaskan lagi pada masa hadapan. Mungkin pada hujung minggu dan libatkan lebih ramai pelajar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

453
Kongsi :
Previous post KESEPADUAN INISIATIF AWAM-SWASTA, BUKTI MELAKA DISENANGI PELABUR
Next post SESI DIALOG BANTU PENDUDUK TERLIBAT PROJEK NAIK TARAF JALAN TUN HAMZAH-SEMABOK