COVID-19: 489 kes hari ini, dua kluster baharu dikesan

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

KUALA LUMPUR 6 Okt. – Kes baharu COVID-19 di Malaysia hari ini menurun berbanding semalam namun tetap merekodkan tiga angka dengan mencatatkan 489 kes dan kemunculan dua kluster baharu, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham berkata daripada jumlah itu, 487 merupakan penularan tempatan dan dua lagi merupakan kes import.

“Daripada 487 kes penularan tempatan, 467 kes melibatkan warganegara dan 20 kes lagi bukan warganegara manakala kes import melibatkan satu warganegara dan satu bukan warganegara yang mengembara dari India dan Kepulauan Maldives,” katanya dalam kenyataan berhubung situasi COVID-19 di sini, hari ini.

Dengan perkembangan itu, katanya jumlah kes positif keseluruhan adalah 13,993 kes dengan jumlah kes aktif kebolehjangkitan sebanyak 3,351 kes.

Manakala terdapat 74 kes yang telah pulih menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 10,501 kes atau 75.0 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sementara itu, sebanyak 10 kluster aktif  COVID-19 mencatatkan pertambahan kes hari ini termasuk dua kluster baharu iaitu Kluster Bah Puchong dan Kluster Penjara Reman.

Jelas Noor Hisham, Kluster Tembok kekal mencatatkan pertambahan kes tertinggi dengan 139 kes baharu.

Mengenai perincian kluster baharu, Dr Noor Hisham berkata Kluster Bah Puchong dikenal pasti di Petaling, Selangor; Larut, Matang dan Selama serta Kinta, Perak.

“Kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-13061, kes ke-13065 dan kes ke-13069) dikenal pasti positif pada 5 Okt hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah).

Mereka dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan dua lagi kes positif di Larut, Matang dan Selama serta Kinta dikenal pasti seterusnya dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak,” katanya dalam satu kenyataan media mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

 

Views:

251
Kongsi :
Previous post Ingkar PKPP: Polis kini dibenar keluarkan kompaun serta-merta
Next post Persatuan usahawan perlu fokus berbilang bangsa
Ubah saiz-+=