Persatuan usahawan perlu fokus berbilang bangsa

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH, 7 Okt. – Usahawan berbilang kaum perlu lebih komprehensif dalam memacu perniagaan menjadi lebih berdaya saing dengan mula menjuruskan keahlian persatuan tidak kepada satu kaum sahaja.

Demikian kata Pengerusi Pertubuhan Perpaduan Ekonomi Malaysia (PPEM) Datuk Seri Jamal Mohd Sheikh Mohd yang berharap persatuan usahawan disertai masyarakat majmuk kerana ia penting bagi menyatukan usahawan supaya bekerjasama dalam hal berkaitan perniagaan.

Katanya, keperluan kewangan semata-mata tidak mampu memajukan usahawan, sebaliknya bantuan kepada akses pasaran dan peluang melaksanakan perniagaan lebih luas, perlu direbut oleh ahli dan seharusnya menjadi keutamaan.

“Usaha memperluaskan jaringan usahawan secara global hanya akan berkembang dengan penyertaan ramai termasuk aspek berbilang kaum kerana pasaran perniagaan lebih mudah berkembang dan tidak dimonopoli oleh satu pihak sahaja.

“Penubuhan persatuan peniaga penting bagi memudahkan agensi membantu sekali gus menyatukan usahawan supaya bekerjasama dalam hal berkaitan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan
Biro-biro PPEM di sebuah hotel, baru-baru ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi PPEM Datuk Jeyarajah Sinatore, Setiausaha Kehormat PPEM Shahul Hameed Jamal Mohd dan Penolong Setiausaha PPEM Mariamah Danapan.

Tambah Jamal lagi, melalui persatuan berbilang bangsa begini, usaha melebarkan perniagaan akan lebih mudah sekali gus memberi kesedaran kepada usahawan agar menjadi peniaga bijak.

Katanya usaha sedemikian akan memberi informasi dan hak-hak sebagai usahawan yang memberi kesedaran bukan sahaja kepada pengguna keseluruhannya, bahkan membuka peluang-peluang perniagaan dan bantuan-bantuan kepada peniaga yang berusaha untuk maju.

“Penyertaan dalam persatuan juga akan membantu para usahawan mencapai transformasi minda sekali gus akan mendapat sokongan berkaitan keperluan untuk mereka manfaat sebaiknya,” katanya.

Views:

1156
Kongsi :
Previous post COVID-19: 489 kes hari ini, dua kluster baharu dikesan
Next post PENAMA mahu lahir pelapis berwibawa
Ubah saiz-+=