PENAMA mahu lahir pelapis berwibawa

Masa Membaca:2 Minit, 23 Saat

BUKIT KATIL, 7 Okt. – Persatuan Penulis Negeri Melaka (PENAMA) sentiasa menganjurkan program penulisan demi meningkatkan kualiti karya yang dihasilkan oleh ahli-ahlinya dalam pelbagai genre berkaitan.

Ketua 1 PENAMA, Datuk Wira Othman Muhamad berkata kerjasama dengan pelbagai agensi turut dilaksanakan sama ada dalam bentuk penganjuran bengkel penulisan kreatif dan bukan kreatif serta program komersial yang relevan seperti Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan dan Malam Puisi Festival Sungai Antarabangsa.

Ujarnya, sebagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang tertua di Melaka, PENAMA amat bertanggungjawab terhadap pembangunan penulisan, bahasa dan sastera dengan tidak mengabaikan peranannya menggerakkan kegiatan tersebut.

“Kita mahu melahirkan penulis pelapis yang berwibawa kerana dunia penulisan terus hidup dalam dua sudut pandangan, iaitu sudut pandangan yang lama dan yang baharu sesuai dengan hakikat penulisan yang berkembang dari segi bentuk, jenis, dan fungsinya mengikut perubahan zaman.

“Dalam masyarakat berasaskan sains dan teknologi hari ini, dunia penulisan tidak terhenti kerana tanpa penulis masyarakat maju kehilangan unsur penting dalam kehidupan mereka.

“Teknologi berkembang yang adakalanya membataskan pencarian tentang makna atau kepastian yang mengakibatkan masyarakat berada dalam keadaan yang kompleks, dan sering pula terperangkap dengan hubungan yang bersifat paradoksikal antara teknologi dengan usaha mencari makna, justeru kehadiran penulis sangat diperlukan bagi meredakan konflik sebegini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutup Taklimat Penghantaran Karya ke Majalah Terbitan Dewan Bahasa Pustaka (DBP) Sempena Sambutan Juli Emas 50 Tahun PENAMA di Perpustakaan Negeri Melaka, baru-baru ini.

Hadir sama Editor Dewan Sastera, Zaharahanum Kamarudin dan Editor Tunas Cipta, Noorisa Naimah Yusof.

Program yang disertai kira-kira 30 penulis dan mengikut pematuhi SOP turut dihadiri Ketua 2 dan Setiausaha 1 PENAMA, Ahmad Zauawi Che Cob dan Muhamad Musip.

Othman turut berkata, PENAMA yang sudah pun mencecah usia matang 50 tahun, maka lebih banyak usaha memperelok karya penulis sebagai usaha membina imaginasi dan korelasi demi mendapatkan mesej positif menerusi karya yang dihasilkan mereka.

Ekoran itu tegas Othman, penulis perlu kreatif memancing minat pembaca agar kelompok tersebut dapat menikmati satu pengalaman estetik yang memberikan rasa segar melalui bahasa dan karya yang dikarang sebagai ‘lingua franca’ menarik.

“PENAMA sudah ramai melahirkan penulis hebat dan menjadikan karya mereka lebih berfalsafah, iaitu dapat menerima keperihalan tentang masyarakat yang kadangkala sukar untuk dimengertikan oleh fikiran rasional.

“Ini unik kerana penulis berjaya memiliki kemampuan berfikir, berimaginasi, dan berbahasa untuk menghasilkan karya sama ada penulisan berita, rencana, puisi, novel, cerpen, ataupun skip drama yang cukup menarik dan digemari.

“Penulis seperti inj juga mampu membawa dunia baharu kepada pembaca dengan memperkayakan idea mereka dalam konteks emosi dan intelek sekali gus berupaya memberi pendidikan emosi terhadapa masyarakat yang gemar pembaca,” ujarnya.

Sesuai usia 50 tahun kewujudan PENAMA juga, Othman membayangkan agar lebih ramai penulis berfikir tentang kehidupan dan karya yang mendatangkan faedah kepada komuniti kerana mereka memiliki kemampuan penulisan yang mantap.

Ujarnya, peranan penulis sebagai perantara interaksi dengan masyarakat turut berjaya mendekatkan hasil kepengarangan mereka untuk menggarap penulisan yang berkualiti bagi manfaat masyarakat secara keseluruhannya.

Views:

961
Kongsi :
Previous post Persatuan usahawan perlu fokus berbilang bangsa
Next post KITARecycle diperluas, galak amalan kitar semula
Ubah saiz-+=