Ingkar PKPP: Polis kini dibenar keluarkan kompaun serta-merta
KUALA LUMPUR 7 Okt. – Individu yang dikesan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan dikenakan kompaun serta-merta oleh pegawai polis berpangkat inspektor dan ke atas bermula hari ini, tanpa perlu ke balai.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, langkah itu dilaksana bagi memudahkan urusan kerja Polis Diraja malaysia (PDRM) di lapangan, yang mana sebelum ini pesalah perlu dibawa ke balai untuk dikenakan kompaun.
“Bagi memudahkan urusan kerja PDRM di lapangan, maka pihak Pejabat Peguam Negara membenarkan mereka mengeluarkan kompaun serta merta terhadap individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP).
“Kompaun serta merta ini boleh dikeluarkan oleh pegawai polis berpangkat inspektor dan ke atas.
“Jika sebelum ini individu yang melanggar SOP ditahan dan dibawa ke balai polis untuk dikompaun tetapi mulai hari ini dan hari seterusnya kompaun dikeluarkan di lapangan, di tempat kejadian berlaku.
“Jika ia berlaku di sekatan jalan raya (SJR) maka di situlah kompaun akan dikeluarkan serta merta,” katanya pada sidang media hari ini.
Terdahulu, Ismail Sabri berkata, sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan diadakan setiap hari.
Beliau berkata, arahan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu menunjukkan bahawa kerajaan sangat prihatin terhadap situasi semasa COVID-19 dalam negara.
“Mesyuarat juga bersetuju memperketatkan lagi kawalan sempadan negara khususnya di Pantai Timur Sabah dengan menambah jumlah anggota keselamatan dan aset bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).