Agong berkenan lantik TYT Melaka sebagai Canselor UTeM

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

AYER KEROH 7 Okt. – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia (Dr.) Mohd Ali Mohd Rustam sebagai Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ketiga.

Menurut jurucakap universiti, pelantikan itu berkuatkuasa selama empat tahun mulai 15 Ogos 2020 hingga 3 Jun 2024.

“Beliau telah dilantik sebagai Canselor UTeM oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkuatkuasa selama empat tahun mulai 15 Ogos 2020 hingga 3 Jun 2024.

“Pelantikan beliau itu adalah bagi menggantikan Canselor UTeM sebelumnya yang merupakan mantan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Dr. Mohd Khalil Yaakob,” katanya menerusi kenyataan dihantar ke Melaka Hari Ini.

Mohd Ali merupakan anak jati Bukit Katil, Melaka telah dilahirkan pada 24 Ogos 1949 merupakan graduan Sarjana Muda Kemasyarakatan (Pembangunan Ekonomi), Universiti Sains Malaysia (USM) 1984 dan Sarjana Sastera, Universiti Malaya pada tahun 2013.

Mohd Ali dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka ketujuh pada 4 Jun 2020 lalu, yang sebelumnya menabur bakti sebagai Ketua Menteri Melaka dari 1999 hingga 2013.

Sumbangan besar beliau terbukti sebagai individu yang membangunkan Melaka dalam pelbagai aspek termasuklah meletakkan negeri ini sebagai antara destinasi pelancongan terkenal dunia.

Sebelumnya antara jawatan yang pernah disandang beliau ialah Timbalan Menteri Pengangkutan pada tahun 1995 hingga 1998 dan Timbalan Menteri Kesihatan dari tahun 1998 hingga 1999 di peringkat Kerajaan Persekutuan

Mohd Ali turut mempunyai pengalaman luas dalam bidang perkhidmatan awam dan memulakan kerjaya awal sebagai Pegawai Kerani di Tenaga Nasional Berhad (TNB) dari 1969-1979, sebelum dinaikkan pangkat sebagai Penolong Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Kedah pada 1979-1980.

Berkat komitmennya dalam tugas yang baik, beliau sekali lagi dinaikkan pangkat sebagai Pengarah KEMAS Perlis selama setahun dari 1980 hingga 1981.

Terdahulu, pemakluman pelantikan Canselor baharu UTeM itu telah disampaikan barisan pihak pengurusan tertinggi UTeM diketuai Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali dan Naib Canselor UTeM Prof. Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim di Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) hari ini.

Views:

598
Kongsi :
Previous post COVID-19: PKPB di Sandakan, Papar, Tuaran dan Klang bermula 9 Oktober ini
Next post Ingkar PKPP: Polis kini dibenar keluarkan kompaun serta-merta
Ubah saiz-+=