COVID-19: 9,912 pekerja asing di Melaka masih belum disaring

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 29 Jan. – Mengejutkan apabila setakat kelmarin seramai 9,912 daripada keseluruhan 12,447 pekerja asing berdaftar di negeri ini dikesan belum menjalani ujian saringan COVID-19 seperti ditetapkan Kementerian Sumber Manusia.

Statistik ini diperoleh hasil operasi dijalankan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Melaka dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Melaka bermula jam 19 Januari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, mengikut data diterimanya sehingga kelmarin, hanya 2,628 atau kira-kira 20 peratus sahaja pekerja asing telah disaring daripada 99 majikan dalam pelbagai sektor yang dilawati, sekali gus memberi petunjuk yang membimbangkan.

Katanya, kesemua majikan yang dilawati itu diberi tempoh dua minggu untuk menyelesaikan proses saringan pekerja asing atau bakal berdepan tindakan tegas.

“Majikan yang belum membuat ujian saringan ke atas pekerja asing boleh melakukannya di mana-mana klinik atau hospital swasta yang menjalankan ujian saringan RTK Antigen. Kos saringan itu perlu ditanggung sepenuhnya oleh pihak majikan.

“Operasi yang dijalankan ini telah dikuatkuasakan oleh Kementerian Sumber Manusia di bawah Akta Pencegahan Dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (AKTA 342) bagi mencegah penularan COVID-19 dalam kalangan pekerja asing yang lebih tinggi berbanding pekerja tempatan.

“Mana-mana majikan yang gagal membuat saringan pekerja asing, boleh didenda tidak melebihi RM1,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya di bawah Peraturan 13 (1), Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (No. 9) 2020),” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, PERKESO bersama JTK Melaka dan JKKP Melaka telah menubuhkan pasukan petugas khas bagi mengesan majikan di Melaka yang belum melakukan saringan COVID-19 ke atas pekerja asing mereka.

Sehingga kelmarin, 99 majikan telah dilawati di seluruh Melaka merangkumi sektor keselamatan, perladangan, pembuatan, pembungkusan, pembinaan, kejuruteraan dan perkhidmatan pekerjaan.

Views:

364
Kongsi :
Previous post 4 hospital swasta Melaka setuju rawat pesakit COVID-19
Next post Hari tak jadi, nak serbu sindiket tipu pelaburan tapi dapat tokan dadah
Ubah saiz-+=