
JUALAN MELAKA SAYANG RAKYAT: AYAM RM5, BARANGAN MURAH DI PASAR BESAR MBMB
AYER KEROH 25 September – Ayam serendah RM5 seekor serta pelbagai barangan basah dan kering sehingga 50 peratus lebih rendah daripada harga pasaran ditawarkan menerusi Jualan Melaka Sayang Rakyat di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), esok (26 September)
Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata, program julung kali dianjurkan itu berlangsung dari jam 6 petang hingga 10 malam dengan pelbagai barangan keperluan harian ditawarkan pada harga istimewa.
Katanya, penganjuran berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah, malah menjadi usaha menarik semula kunjungan orang ramai ke Pasar Besar MBMB.
“Inisiatif ini diadakan susulan kunjungan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ke Pasar Besar MBMB sebelum ini yang mendapati peniaga berdepan cabaran susulan kemerosotan kunjungan pelanggan.
“Antara luahan yang diterima adalah mengenai kemerosotan kunjungan ke pasar ini berikutan kewujudan pasar raya dan pusat beli-belah yang menawarkan pelbagai pilihan kepada pengguna,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Shadan, Jualan Melaka Sayang Rakyat memberi peluang kepada semua golongan mendapatkan barangan basah, kering dan pelbagai keperluan lain pada harga lebih rendah, selain membantu peniaga tempatan menarik kembali pelanggan ke pasar berkenaan.
Katanya, orang ramai juga berpeluang menikmati penjimatan sehingga 50 peratus bagi barangan terpilih sepanjang program berlangsung.
“Memang murah, barangan basah dan kering terpilih kita tawarkan pada harga sehingga 50 peratus lebih rendah.
“Sebagai contoh, jika barangan kering berharga RM40, pengguna hanya perlu membayar RM20 menerusi jualan ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengajak orang ramai mengambil peluang berkunjung ke Pasar Besar MBMB, mendapatkan barangan keperluan pada harga istimewa sambil menyokong peniaga tempatan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

