COVID-19 di Melaka terkawal biarpun ada peningkatan kes babitkan ahli keluarga

Masa Membaca:2 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 21 Mac – Situasi semasa COVID-19 di negeri ini masih terkawal biarpun kebelakangan ini Melaka menunjukkan peningkatan kes membabitkan ahli keluarga.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, setakat hari ini 6,286 kes COVID-19 direkodkan di negeri ini.

Menurutnya, daripada jumlah itu hanya 141 kes aktif di negeri ini dan sedang menerima rawatan manakala kluster aktif pula sebanyak lapan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman. Gambar fail

“Kebelakangan ini kita dapat lihat aliran peningkatan kes melibatkan ahli keluarga yang merupakan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 bermula dari tempat kerja.

“Ataupun kes-kes yang mendapat jangkitan daripada ahli keluarga dan seterusnya menjangkiti rakan-rakan di tempat kerja.

“Ini berlaku kerana sikap segelintir individu yang tidak mengendahkan kepentingan arahan untuk menjalani kuarantin di rumah seperti dikehendaki petugas kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rahmad berkata apabila seseorang yang dikenalpasti sebagai kes disyaki COVID-19 atau kontak rapat kepada kes positif COVID-19, perlulah menjalani kuarantin di rumah seperti diarahkan selama 10 hari.

“Mereka yang menjalani ujian saringan COVID-19 tidak kira sama ada saringan di tempat kerja, saringan kemasukan ke tempat kerja, saringan bergejala dan lain-lain sebab saringan di jalankan, juga dinasihatkan menjalani kuarantin kendiri di rumah sehingga keputusan saringan diperolehi.

“Bagi mereka yang pernah berhubung dengan kes positif tetapi tidak dikenalpasti sebagai kontak rapat atau individu yang merupakan kontak rapat kepada mana-mana individu yang masih menunggu keputusan ujian calitan, juga dinasihatkan dan digalakkan menjalani kuarantin kendiri.

“Selain itu mereka disaran memantau status kesihatan masing-masing sepanjang tempoh 10 hari walaupun tidak diarahkan untuk berbuat demikian oleh pihak berkuasa,” katanya.

Katanya, sebagai contoh jika terdapat mana-mana murid yang ibu bapanya atau ahli keluarganya yang terdekat dikesan sebagai kontak rapat kes positif dan sedang dikuarantin bagi menunggu keputusan ujian saringan, pelajar tersebut tidak digalakkan hadir ke sekolah.

“Kita nasihatkan supaya menjalani kuarantin kendiri di rumah sehingga keputusan ujian keluarga itu diperolehi atau sehingga tamat menjalani kuarantin.

“Perkara ini penting bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada orang lain jika ada antara kita positif tanpa disedari kerana ada yang tidak menunjukkan gejala,” katanya lagi.

Rahmad berkata, mereka yang menjalankan kuarantin di rumah perlu memastikan dirinya tinggal di dalam bilik yang berasingan, tidak berkongsi tandas, alatan atau pakaian peribadi dengan individu lain.

“Mereka juga perlu sentiasa mengamalkan kawalan kendiri dan tahap kebersihan yang baik seperti memakai pelitup muka apabila menerima makanan dari luar dan menjaga etika batuk dan bersin yang betul.

“Selain itu mereka perlu memantau gejala dengan mengisi borang Home Assessment Tool (HAT) yang akan diberikan oleh pegawai penyiasat kes dari Pejabat Kesihatan Daerah,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan, orang ramai boleh menghubungi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Melaka di talian 06- 2345999/6851 atau melalui e-mel [email protected].

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

343
Kongsi :
Previous post Pejabat SKM Masjid Tanah mudahkan urusan koperasi
Next post KPM pastikan murid dapat kuasai tahap minimum pengajian- Radzi
Ubah saiz-+=