COVID-19: Hotel dijadikan pusat kuarantin

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 30 Okt. – Sebuah hotel di Bandaraya Melaka akan dijadikan pusat kuarantin sementara untuk kes-kes membabitkan COVID-19 di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Khas COVID-19 (JKC-19) negeri Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan berkata, kewujudan fasiliti itu antara lain sebagai persiapan menempatkan pesakit kontak rapat COVID-19 atau mereka yang perlu menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari.

Jelasnya, ia juga disediakan sebagai persiapan awal untuk menempatkan pesakit COVID-19 seandainya fasiliti sedia ada di Hospital Melaka tidak cukup untuk menampung jumlah pesakit di masa akan datang.

“Dahulu, kita gunakan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR (CREaTE) di Alor Gajah sebagai pusat kuarantin sementara. Tapi sekarang kita tak dapat gunakan tempat itu kerana ia kini sedang digunakan.

“Jadi, sebagai alternatif kita sudah mendapatkan sebuah hotel di Bandaraya Melaka yang akan menempatkan individu di Melaka yang wajib menjalani kuarantin atau sebagai persiapan sekiranya Hospital Melaka penuh,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.

Mengulas mengenai situasi COVID-19 di negeri ini, Abdul Ghafaar berkata, buat masa ini keadaan masih terkawal termasuklah kes membabitkan Kluster Umboo di Daerah Alor Gajah baru-baru ini.

Katanya, kes yang melibatkan tahanan dan petugas depoh tahanan itu kini sedang dikawal rapi dengan melakukan pengasingan sama ada kepada tahanan sedia ada yang disahkan negatif COVID-19 atau pun tahanan baharu.

“Ini bagi mengelakkan kes ini daripada terus merebak seperti yang berlaku di Negeri Sabah dan beberapa negeri lain dalam Semenanjung,” katanya.

Dalam pada itu, diminta mengulas sama ada wujudnya sebarang prosedur operasi standard (SOP) baharu di negeri ini, Abdul Ghafaar menjelaskan Kerajaan Melaka masih mengguna pakai ketetapan sedia ada.

Views:

672
Kongsi :
Previous post Robinsons tutup operasi di Malaysia kerana tekanan COVID-19
Next post 1,087 kompaun dalam 27 hari
Ubah saiz-+=