1,087 kompaun dalam 27 hari

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 30 Okt. – Polis Melaka telah mengeluarkan 1,087 kompaun dalam tempoh 27 hari sejak awal Oktober lalu atas kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Melaka Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, daripada jumlah itu Melaka Tengah merekodkan jumlah tertinggi iaitu 978 kompaun diikuti Alor Gajah (89) dan Jasin sebanyak 20 kompaun.

Menurutnya, semua kompaun dikeluarkan atas kesalahan di bawah Peraturan 7 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Secara keseluruhannya, Polis Melaka telah mengeluarkan 2,051 kompaun bermula 8 April sehingga 27 Oktober lalu membabitkan 1,819 pesalah lelaki dan 232 perempuan.

“Kesalahan tertinggi direkodkan berlaku di daerah Melaka Tengah sebanyak 1,530 kes, Alor Gajah (305) dan Jasin membabitkan 216 kes,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) di sini.

Terdahulu, Beh menyertai program Pemantauan Udara OP Benteng Covid-19 yang membuat tinjauan dari udara menaiki helikopter AgustaWestland AW139 dikendalikan Timbalan Komander (Operasi) Senior Asisten Komisioner (SAC) Noor Sham Md Jani daripada Pasukan Gerakan Udara Bukit Aman.

Hadir sama adalah Timbalan Ketua Polis Melaka, SAC Dato Sharul Lalli Masduki, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris, Pegawai Turus Kententeraman Awam Deputi Superintendan Nik Ab Halim Bin Nik Mat dan Pengarah Pendakwaan Melaka Badius Zaman Ahmad.

Views:

480
Kongsi :
Previous post COVID-19: Hotel dijadikan pusat kuarantin
Next post Tumpahan minyak Tanjung Tuan: Empat kapal dikenal pasti
Ubah saiz-+=