Tumpahan minyak Tanjung Tuan: Empat kapal dikenal pasti

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER KEROH 30 Okt. – Pihak berkuasa mengenal pasti empat kapal yang dipercayai terbabit dalam insiden pencemaran tumpahan minyak di Tanjung Tuan, Port Dickson, pertengahan bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan berkata, bagaimanapun pihak terbabit masih menunggu keputusan sampel yang diambil untuk dilakukan ujian, untuk mengenalpasti dalang disebalik insiden berkenaan.

“Sampel yang diambil itu dihantar ke Jabatan Kimia untuk proses ujian makmal bagi mengenal pasti minyak terbabit milik siapa.

PENGERUSI Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan

“Kita mengesyaki minyak itu datangnya dia ntara empat kapal itu. Kita tidak boleh mengatakan 100 peratus datangnya daripada situ sebelum keputusan ujian makmal diperoleh,” katanya.

Ujarnya, kapal-kapal itu datang dari luar Melaka dan berlabuh disitu dan dianggarkan kira-kira 80,000 kapal melalui Selat Melaka dalam tempoh setahun.

“Sebaik ujian makmal diperoleh dan mengetahui minyak itu daripada kapal mana tindakan lanjut untuk pendakwaan baru boleh dilakukan,” katanya.

Mengulas lanjut Abdul Ghafaar berkata, kerja-kerja pembersihan susulan insiden tumpahan minyak itu kini sudah selesai dengan membabitkan jumlah keseluruhan lebih RM100,000.

“Kira- kira 95 peratus kerja pembersihan Tanjung Tuan sudah dijalankan dan ia sudah selesai dijalankan membabitkan lebih 100 orang petugas daripada pelbagai agensi.

“Malah kita juga berjaya menjimatkan kos sebanyak 90 peratus daripada jumlah yang diminta pihak kontraktor apabila membelanjakan hanya sekitar RM100,000 lebih,” katanya.

Tambahnya, selepas kerja-kerja pembersihan dilakukan, hidupan laut seperti belangkas dan ketam kini mula kembali ke kawasan habitatnya itu yang menunjukkan kawasan yang dicemari kira-kira dua minggu lalu kini semakin terkawal.

Melaka Hari Ini, pada 17 Oktober lalu melaporkan, tumpahan minyak di perairan Tanjung Tuan yang turut melibatkan beberapa pantai antaranya Pantai Cermin, Port Dickson didakwa sebagai insiden tumpahan minyak terbesar tahun ini selepas insiden sama di Pulau Tioman, Pahang Jun lalu.

Pengarah Bahagian Keselamatan Sekuriti dan Alam Sekitar, Jabatan Laut Malaysia Mohd Fairoz Rozali menganggarkan kira-kira 10 tan metrik isi padu sisa minyak kini mencemari perairan Tanjung Tuan berbanding kejadian di Pahang, yang merekodkan lima tan metrik tumpahan minyak.

Views:

770
Kongsi :
Previous post 1,087 kompaun dalam 27 hari
Next post COVID-19: Jumlah kes seluruh dunia melepasi 45 juta
Ubah saiz-+=