Covid-19 kembali catat angka terendah

Masa Membaca:2 Minit, 37 Saat

KUALA LUMPUR 4 Ogos – COVID-19 kembali mencatat angka terendah apabila hanya satu kes baharu dilaporkan hari ini, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Kali terakhir negara mencatat angka berkenaan adalah pada 1 Julai lepas.

Dr Noor Hisham berkata dengan perkembangan itu jumlah kumulatif kes positif di Malaysia adalah 9,002 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 193 kes.

“Ingin dimaklumkan bahawa satu kes baharu yang dilaporkan hari ini adalah kes penularan di dalam negara yang melibatkan warganegara Malaysia iaitu kes saringan Severe Acute Respiratory Infection (SARI) yang dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Perlis.

“Tiada kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara yang dilaporkan pada hari ini. Adalah dimaklumkan bahawa tiada kes positif yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada pertambahan kes kematian dilaporkan pada hari ini,” katanya dalam kenyataan berhubung perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata terdapat 16 kes yang telah pulih pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 8,684 kes atau 96.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Dr Noor Hisham seterusnya menzahirkan penghargaan kepada seluruh pihak atas kerjasama memastikan penurunan kes harian kembali kepada satu kes hari ini sambil menyeru masyarakat terus mengamalkan normal baharu dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

“…ini sememangnya adalah hasil usaha dan kerjasama setiap peringkat dan lapisan masyarakat serta agensi terbabit dalam memainkan peranan masing-masing.

Setiap lapisan dan kumpulan masyarakat diseru agar dapat meneruskan usaha menurunkan kes COVID-19 di negara kita dengan mengamalkan penjarakan fizikal yang selamat iaitu sekurang-kurangnya 1 meter di antara satu sama lain, menjaga kebersihan diri terutamanya kebersihan tangan, mengelakkan kawasan yang sempit dan sesak serta mengelakkan bertutur dengan jarak yang dekat,” katanya.

Beliau juga mengingatkan penularan semula jangkitan COVID-19 di Malaysia boleh berlaku sekiranya masyarakat leka dan mengambil mudah saranan, arahan serta amaran kerajaan.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan berita tular mengenai arahan kepada ibu bapa dan pelajar yang bercuti di daerah Kubang Pasu, Kedah perlu menjalani saringan COVID-19 di klinik kesihatan berdekatan adalah palsu.

Jelasnya, KKM tidak mengeluarkan sebarang arahan rasmi seperti yang tular sebaliknya menjelaskan individu yang perlu menjalani saringan adalah mereka yang mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif atau individu yang mempunyai gejala demam atau gejala saluran pernafasan.

Ini termasuk penduduk yang berada di kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran, dalam radius satu kilometer daripada Restoran Nasi Kandar Salleh, Pekan Napoh (Mukim Hosba, Kubang Pasu); Kampung Pida Satu, Megat Dewa (Mukim Ah, Kubang Pasu): Kampung Bendang Dalam (Mukim Binjal, Kubang Pasu); dan Kampung Ulu Padang Sanai (Padang Terap).

Selain itu, individu berkait rapat dengan kedai makan yang terbabit dalam Kluster PUI Sivagangga, sebagai contoh pelanggan atau berurusan dengan kes indeks kluster ini atau dengan pekerja kedai makan itu dari 13 Julai sehingga 27 Julai perlu segera menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang berdekatan untuk menjalani saringan COVID-19.

“KKM akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dalam menangani isu ini bagi memastikan arahan yang dikeluarkan adalah selari dan sahih,” katanya.

— BERNAMA

Views:

359
Kongsi :
Previous post Melaka cari kaedah terbaik bantu B40 miliki rumah
Next post e-Learning tetap diteruskan selepas pandemik – KEMAS
Ubah saiz-+=