COVID-19 menular di tujuh sekolah di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

PAYA RUMPUT 23 Jan – Seramai 153 pelajar dari tujuh sekolah menengah termasuk sebuah sekolah berasrama penuh di negeri ini disahkan positif COVID-19.

EXCO Pendidikan Datuk Rais Yasin berkata, daripada tujuh sekolah itu, satu daripadanya adalah sekolah berasrama penuh iaitu Sekolah Menengah Sains Muzaffar Shah namun hanya seorang sahaja pelajar yang dilaporkan positif setakat ini.

Beliau berkata, Kolej Vokasional (KV) Melaka Tengah yang juga Kluster Tun Telani masih kekal dengan bilangan teramai pelajar dijangkiti COVID-19 dengan 107 orang.

“Di Kolej Vokasional Jasin pula, seramai 25 pelajar disahkan positif manakala empat lagi sekolah adalah Sekolah Menengah Agama (SMA) Sultan Muhammad dengan 12 pelajar serta masing-masing seorang pelajar dari SMA Sayyidah Siti Khadijah, SMA Darul Falah dan SMA Sharifah Rodziah.

“Kesemua 107 pelajar KV Melaka Tengah yang disahkan positif dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid Berisiko Rendah (PKRC) MITC Ayer Keroh untuk menjalani kuarantin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan Tahun Baharu Cina kepada lebih 100 penduduk yang turut dihadiri Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Wira Lim Ban Hong, di Tanjung Minyak, hari ini.

Rais berkata, walaupun pihak sekolah dan guru berada dalam keadaan bersiap sedia berdepan dengan kluster pendidikan namun pihaknya meminta Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) mempertingkatkan prosedur operasi standard (SOP) di semua sekolah.

“Kita minta (JPN) sentiasa memantau sebaik mungkin sekiranya ada kes terpencil segera laporkan agar tindakan dapat diambil.

“Saya ada berbincang dengan beberapa pihak agar SOP ini mesti dipertingkatkan bukan sahaja oleh pelajar kerana sekiranya kita lihat kebanyakkan sekolah yang terbabit adalah sekolah bercampur sekolah asrama dan harian,” katanya.

Rais yang juga EXCO Pendidikan dan Teknologi negeri berkata, KV Melaka Tengah yang ditutup sejak 14 Januari lalu akan dibuka semula esok dengan 120 pelajar dibenarkan hadir dan mengikuti pembelajaran secara bersemuka.

“Bagi pelajar diploma mereka akan mengikuti pembelajaran menerusi sesi Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PDPR).

“Sebuah lagi sekolah yang ditutup adalah SMA Sultan Muhammad dan akan dibuka pada 27 Januari manakala KV Jasin (dibuka) dalam tempoh terdekat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya difahamkan jangkitan yang berlaku adalah kes sporadik, bagaimanapun siasatan lanjut dan menyeluruh masih dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1033
Kongsi :
Previous post Kanak-kanak lima tahun trauma diserang anjing
Next post ‘Akhirnya boleh balik kampung beraya’
Ubah saiz-+=