Kanak-kanak lima tahun trauma diserang anjing
MERLIMAU 23 Jan – Seorang kanak-kanak lelaki cedera di badan dan tangan selepas diserang anjing berhampiran Kawasan Perindustrian Merlimau pada awal pagi ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 2 pagi selepas kanak-kanak itu, Adam Akasyah Mohd Zayan, 5 menunggang motosikal bersama bapanya, Mohd Zayan Zamzam, 33, untuk pulang ke rumah berhampiran kawasan perindustrian tersebut.
Menurut ibunya, Nur Izyan Ismail, 33, anak dan suaminya itu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mereka selesai berniaga di sebuah kedai makanan di kawasan tersebut.
“Biasanya kami pulang berniaga menaiki kereta namun kereta tiba-tiba rosak dan disebabkan itu, suami mengambil keputusan untuk pulang ke rumah terlebih dahulu bersama Adam sementara saya menunggu rakan datang membaiki kereta.
“Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan balik, dua ekor anjing berwarna coklat tiba-tiba mengejar motosikal suami dan ketika cuba menghalau anjing tersebut, motosikal hilang kawalan dan mereka terjatuh,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).
Menurutnya, ketika kejadian salah seekor anjing tersebut cuba menggigit kaki anaknya namun berjaya dihalau oleh suami dan disebabkan itu, motosikal tersebut gagal dikawal.
Ujar Nur Izyan, akibat serangan itu, Adam mengalami luka pada badan dan tangan manakala suaminya tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mujurlah, anjing tersebut tidak terus menyerang suami dan anak dan mereka tidak mengalami luka serius.
“Cuma sehingga sekarang, Adam masih trauma dengan kejadian yang berlaku dan sentiasa mahu dipeluk mungkin masih terkejut dengan insiden itu,” katanya.
Katanya, kejadian yang berlaku awal pagi itu bukanlah kali pertama memandangkan sebelum ini mereka pernah dikejar oleh anjing di kawasan itu namun anjing tidak menyerang sebaliknya melarikan diri setelah dihalau.
Malah, katanya, insiden serangan anjing di Kawasan Perindustrian Merlimau pernah menimpa beberapa orang awam yang melalui kawasan itu sebelum ini.
“Suami agak terkejut kerana anjing terus menyerang walaupun sudah dihalau beberapa kali dan saya bimbang anjing-anjing ini akan bertindak lebih agresif selepas ini.
“Selepas menyerang suami dan anak, anjing tersebut dilihat memasuki sebuah kilang dalam kawasan industri tersebut, mungkin itulah pemiliknya,” katanya.
Menurutnya, insiden itu akan diadukan kepada Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) bagi tindakan selanjutnya, sekali gus mengelakkan perkara sama berulang kepada orang awam lain.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.