COVID-19: Peningkatan mendadak sehingga 238 individu positif hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

AYER KEROH 4 Feb. – Melaka merekodkan peningkatan mendadak kes positif COVID-19  iaitu seramai 238 orang pada hari ini berbanding penurunan dalam tempoh tiga hari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, peningkatan itu disumbangkan Kluster Industri Serkam yang mencatatkan 198  positif selepas menjalani ujian saringan COVID-19 sejak beberapa hari lalu.

Katanya, kluster itu dikesan kalangan pekerja sebuah sebuah kilang beroperasi di kawasan Serkam yang kini telah diarahkan tutup selama seminggu sejak sabtu lalu oleh Pejabat Kesihatan Daerah Jasin.

“Seramai 1,800 pekerja kilang itu diarahkan menjalani ujian saringan dan jumlah yang positif kini sedang menjalani rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

“Manakala, kontak rapat yang dijejaki kini sedang menjalani kuarantin di rumah,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Rahmad berkata, terdapat satu kematian pada hari iaitu lelaki berusia 82 tahun dari Serkam yang mempunyai sejarah penyakit HPT, Hyperlipidaemia dan amputasi dua kaki.

“Keseluruhannya daripada 238 kes positif, 236 kes adalah kes jangkitan tempatan dan dua lagi kes import B.

“Selain itu, 953 kes masih dirawat termasuk 14 di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tujuh menggunakan alat bantuan pernafasan, manakala kluster aktif kekal 18,” katanya.

Views:

944
Kongsi :
Previous post Nadi Rakyat Melaka bantu pelajar IPT
Next post Buku Tommy Thomas fitnah banyak pihak termasuk saya-Apandi Ali
Ubah saiz-+=