COVID-19: SMK Lubok Cina dan SK Telok Berembang disanitasi

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 16 Okt. – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah selesai melakukan proses sanitasi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok Cina dan Sekolah Kebangsaan (SK) Telok Berembang susulan seorang pelajar di sekolah terbabit didapati positif COVID-19.

Pengarah JBPM negeri Abu Obaidat Mohamad berkata, kedua-dua sekolah berkenaan selesai disanitasi pihaknya semalam selepas diarahkan tutup.

Beliau berkata, seramai lapan anggota termasuk pegawai melakukan proses sanitasi yang mengambil masa kira-kira enam jam.

“Kesemua anggota dan pegawai melakukan proses sanitasi dengan lengkap memakai peralatan perlindungan diri (PPE) membabitkan kawasan antaranya kantin dan kelas.

“Proses sanitasi di sekolah SK Telok Berembang dilakukan pada jam 9.30 pagi, manakala SMK Lubok Cina pula pada jam 3 petang semalam,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak 1,629 kerja proses sanitasi dilakukan pasukan bomba negeri ini sejak 30 Mac lalu sehingga kini.

MHI semalam melaporkan, dua buah sekolah di Masjid Tanah, iaitu SMK Lubok China dan SK Telok Berembang diarah tutup selepas seorang pelajarnya yang merupakan adik beradik dari sekolah terbabit positif COVID-19.

Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Datuk Rahmad Mariman dan jelasnya, pelajar berkenaan yang menginap di Kampung Nerambai Negeri, Sembilan serta seluruh anggota keluarganya seramai lapan orang disahkan positif wabak berkenaan dan telah dibawa ke Hospital Seremban untuk rawatan lanjut.

“1 kes di SK Berembang dan 1 kes di SMK Lubok China, keduanya adalah adik beradik. Kes tersebut merupakan kes Negeri Sembilan dan telah dihantar ke Hospital Seremban untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Views:

1444
Kongsi :
Previous post 52 pelajar jalani ujian calitan susulan dua pelajar positif COVID-19
Next post Agong mahu ahli politik bermuhasabah, tidak ulangi kancah politik tidak menentu
Ubah saiz-+=