COVID-19: UTeM nafi laksana sekatan pergerakan, WhatsApp tular adalah palsu!

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 3 Feb – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menafikan dakwaan yang tular kononnya institut pengajian tinggi itu melaksanakan sekatan pergerakan di asrama pelajar.

Ia susulan tular di aplikasi WhatsApp mengaitkan berlakunya kes jangkitan COVID-19 yang tinggi membabitkan warga UTeM.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTeM yang menjalankan fungsi Naib Canselor Prof Dr Ghazali Omar berkata, perkara itu tidak tepat memandangkan jangkitan yang berlaku masih terkawal.

Katanya, semua pelajar yang dijangkiti adalah kurang daripada 20 orang dan mereka berada pada kategori satu dan dua dengan hanya mengalami simptom demam dan batuk.

“Kita telah mengikuti langkah-langkah dan SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu melaksanakan pengasingan dan kuarantin pelajar yang dijangkiti.

“Pada masa sama, kita juga memberikan sokongan moral serta memastikan bekalan makanan untuk pelajar terlibat sentiasa ada.

“Semua pelajar tersebut dikuarantin di dalam kawasan UTeM dan kita juga memantau tahap kesihatan pelajar yang dijangkiti dari semasa ke semasa sehingga mereka benar-benar sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pertukaran Dokumen MoU antara UTeM dengan 16 industri di sebuah hotel di Ayer Keroh.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Amtarabangsa) UTeM, Prof Dr Zulkifilie Ibrahim, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTeM, Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif dan lain-lain kenamaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

947
Kongsi :
Previous post UTeM jalin kerjasama sinergi bersama 16 rakan industri
Next post ‘Vida’ pasang impian jadikan Melaka United kelab terbaik di Malaysia
Ubah saiz-+=