
CRUISE MADANI: BELI TIKET BERPELUANG MENANG PROTON SAGA
RIM 23 Julai – Hadiah utama cabutan bertuah sebuah Proton Saga bersempena inisiatif ‘Cruise Madani’ menanti pengunjung yang menaiki produk pelancongan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Shaharul Azuar Idris berkata, orang ramai berpeluang menyertai cabutan bertuah tersebut menerusi setiap pembelian tiket bernilai RM50 dan ke atas bagi mana-mana produk pelancongan ‘cruise’ kendalian PPSPM.
Jelasnya, insiatif ‘Cruise MADANI’ yang dilancarkan bersempena sambutan ulang tahun ke-20 PPSPM kali ini menawarkan hadiah cabutan bertuah dengan nilai keseluruhan sebanyak RM100,000.
“Hadiah utama bagi cabutan ini adalah sebuah Proton Saga diikuti dua buah motosikal, televisyen, peralatan elektrik dan pelbagai lagi. Cabutan akan diadakan pada penghujung tahun ini sempena sambutan Ambang Tahun Baharu 2026.
“Cruise MADANI yang diperkenalkan ini adalah simbolik kepada sokongan rakyat dalam menjayakan agenda pelancongan negeri, selainmenyemarakkan semangat komuniti serta memberi insentif sebenar kepada pengguna produk pelancongan tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Eco-Cruise Tasik Chinchin dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Taman Ekstrem Tasik Chinchin, di sini, semalam.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, Barisan Exco Kerajaan Negeri serta tetamu lain.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.