CTRM industri pertama tubuhkan PPV, perluaskan vaksinasi

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

BATU BERENDAM 12 Jun – Composite Technology Research Malaysia Sdn Bhd (CTRM), di sini,  menjadi industri pertama berkolaborasi dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini.

Kerjasama itu dijalin dengan menyediakan ruang khas di dalam bangunan syarikat itu untuk dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam bagi kegunaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan vaksinasi kepada masyarakat setempat.

Ketua Pegawai Eksekutif CTRM Shamsuddin Mohamed Yusof berkata, PPV awam itu akan dibuka di Building 6 (B6) yang juga blok baharu.

“Ruang seluas 2,178 meter persegi di B6 akan dijadikan PPV bagi menyahut seruan kerajaan dan ia akan beroperasi mulai 16 Jun ini hingga Disember tahun ini.

“CTRM tampil bekerjasama dalam memperluas usaha ini bagi membendung penularan pandemik COVID-19 dan melalui sokongan ini, diharapkan program imunisasi dapat dipercepat untuk mencapai sasaran imunisasi kelompok ditetapkan kerajaan.

“Ketika ini kerja-kerja persiapan bagi penyediaan PPV yang dijadual beroperasi minggu hadapan oleh KKM sedang giat dijalankan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sebelum ini MHI melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, kerajaan negeri bersetuju untuk menambah lagi beberapa PPV di Melaka bagi memperluaskan PICK.

Menurutnya, empat PPV tambahan akan dibuka berperingkat bagi menyokong enam PPV yang dibuka di tiga daerah di negeri ini.

Selain di CTRM, tiga PPV lagi akan dibuka di Dewan Universiti Multimedia Melaka, Dewan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya di Bukit Beruang dan Dewan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Lendu, Alor Gajah.

CTRM adalah anak syarikat milik penuh DRB-Hicom Bhd.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3002
Kongsi :
Previous post ‘Beku’ lesen perlombongan selepas pewartaan Hutan Simpan Chini 2019
Next post Malaysia tidak hantar jemaah haji tahun ini- Dr Zulkifli
Ubah saiz-+=