Cukup-cukuplah main politik, mari fokus bantu rakyat – Abdul Razak

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat

TELOK MAS 9 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman menafikan dakwaan terdapat gerakan dalam kalangan wakil rakyat di negeri ini untuk melaksana usul undi tidak percaya bagi menolak kepimpinan Ketua Menteri pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka menegaskan pihaknya tidak pernah mendengar langsung khabar angin yang diperkatakan itu malah mengambil pendirian tidak akan mengambil tahu dan akan memfokuskan untuk menyelesaikan masalah rakyat.

“Saya tegaskan cukup-cukuplah ini bukan masanya untuk berpolitik, kita kena bantu rakyat, cukup-cukuplah buat berita-berita yang tak benar ini.

“Saya sebagai ADUN di dalam Negeri Melaka ini kita tak pernah bincang pun, tak pernah dengar pun perkara ini, saya harap perkara ini kita tak gembar-gemburkan yang penting sekarang ini kita nak selesesaikan masalah rakyat.

“Contohnya yang berlaku sekarang dengan kenaikan harga barangan keperluan begitu mendadak sekali, lebih baik kita sama-sama kita fikirkan bagaimana kita nak selesaikan masalah dan isu barang keperluan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Pengagihan 1,000 Papan Telur Percuma sempena Hari Raya Aidiladha di Japerun Sementara Telok Mas, di sini, hari ini.

ABDUL Razak. Foto Iqmal Haqim Rosman

Ketika ditanya dakwaan itu berkemungkinan merupakan agenda pembangkang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang, beliau yang juga EXCO Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri mengambil pendirian tidak ambil pusing.

Sebaliknya, beliau akan terus menyokong kerajaan negeri yang sedia ada di bawah kepimpinan Sulaiman.

“Saya tak tahu dan macam saya cakap perkara ini kita tak pernah bincang dan saya pun tak ambil tahu (kerana) yang penting sekarang penekanan saya dan saya tegaskan saya sebagai ADUN dan sebagai EXCO Kerajaan Negeri di Melaka perlu memikirkan bagaimana kaedah nak membantu rakyat. cukup-cukuplah berpolitik, sampai masa berpolitik kita berpolitik.

“Semestinyalah (menyokong kepimpinan Ketua Menteri), saya hari ini (menerusi) kerajaan hari ini yang ada merupakan kerajaan yang kukuh di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan disokong oleh parti kita (iaitu) UMNO yang terbesar memenangi Pilihan Raya Negeri yang lepas.

“Semalam pun, Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka (Datuk Seri Ab Rauf Yusoh) pun sudah buat kenyataan rasmi, tidak ada perkara-perkara yang digembar-gemburkan ini,” katanya.

Terdahulu, menerusi sebuah portal berita yang memetik kenyataan sebuah akhbar berbahasa baru-baru ini mendakwa terdapat gerakan untuk melaksana undi tidak percaya kepada Ketua Menteri pada Persidangan DUN akan datang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1418
Kongsi :
Previous post Sedia ‘redah’ kesesakan luar biasa, janji dapat pulang beraya
Next post 1,000 papan telur percuma ‘licin’ dalam 45 minit
Ubah saiz-+=