Sorting by

×

Sedia ‘redah’ kesesakan luar biasa, janji dapat pulang beraya

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

BANDARAYA MELAKA 9 Julai – Kurang 24 jam umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidiladha, ramai yang tidak mahu terlepas pulang ke kampung menyambut perayaan itu bersama ahli keluarga tercinta.

Tinjauan Melaka Hari Ini di Terminal Bas Melaka Sentral mendapati orang ramai mula memenuhi ruangan menunggu untuk menaiki bas pulang ke kampung halaman.

Menurut seorang pekerja swasta, Abdullah Abas, dia tidak mahu terlepas beraya di kampung halaman bersama keluarga tercinta kerana baginya Hari Raya Aidiladha tahun ini cukup istimewa meskipun menyedari akan ‘lama’ di dalam bas kerena kesesakan luar biasa di jalan raya.

“Saya dah beli tiket dua minggu awal, sebab ‘bahaya’ beli tiket ‘last minit’, isu kesesakan jalan, pada saya tidak jadi isu yang penting dapat pulang dalam keadaan selamat jumpa keluarga.

“Tahun ini bagi saya hari raya yang disambut baik Aidilfitri mahupun Aidiladha, kedua-duanya istimewa, sebab dua tahun tidak dapat beraya bersama keluarga tercinta kerana tahun depan kita tidak tahu lagi sempat atau tidak beraya bersama,” katanya yang pulang ke Johor Bahru.

ABDULLAH

Nada sama disuarakan Siti Nur Sabrina, yang belajar di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Selandar, yang akan pulang ke Pasir Gudang, Johor

Namun, dia optimis kesesakan yang ditempuh tidak sama seperti Hari Raya Aidilfitri lalu apabila bas yang dinaikinya terperangkap hampir tujuh jam akibat kesesakan.

“Insya-Allah pulang Hari Raya Aidiladha ini tidak sesak seperti Hari Raya Aidilfitri lalu, perjalanan yang sepatutnya hanya dua ke tiga jam menjadi enam ke tujuh jam masa perjalanan kerana kesesakan luar biasa.

“Tapi apa pun, destinasi ke kampung halaman itu yang penting, sebab hari raya adalah masa untuk berjumpa sanak-saudara yang jauh dan rakan-rakan,” ujarnya.

Manakala bagi Wan Nur Hidaya Wan Azman, dia sudah bersedia untuk menempuh kesesakan luar biasa apabila membeli tiket saat akhir pulang ke kampung halaman di Pahang.

“Saya terpaksa membeli tiket saat akhir sebab ada masalah yang tidak dapat dielakkan, Alhamdulillah tiket bas masih ada, namun penjual tiket di kaunter sudah memberitahu hanya tinggal dua tiket sahaja.

“Walaupun memang sudah jangka masa perjalanan akan jadi panjang, tapi saya reda dan bersyukur dapat juga pulang menyambut Hari Raya Aidiladha,” katanya.

WAN Nor Hidaya

Sebelum ini, Plus Malaysia Berhad (Plus) menjangkakan kira-kira 1.9 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan sempena cuti perayaan Aidiladha bermula esok hingga Selasa depan.

Manakala, Anih Berhad menjangkakan kira-kira 2.4 juta kenderaan dijangka ke Pantai Timur sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

942
Kongsi :
Previous post Flying Lizards, Tigers and Moyang: Aslian Tales
Next post Cukup-cukuplah main politik, mari fokus bantu rakyat – Abdul Razak
Ubah saiz-+=