Daftar pemilih tambahan April 2022 dibuka untuk semakan – SPR

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Daftar Pemilih Tambahan Bulan April Tahun 2022 (DPT BLN4/2022) yang telah diperaku dan diwartakan hari ini, kini dibuka untuk semakan.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan hari ini berkata DPT BLN4/2022 dibuka selama 30 hari mulai hari ini hingga 17 Jun depan.

Beliau berkata DPT BLN4/2022 itu mengandungi nama bagi 40,201 warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas bagi tempoh 1 hingga 30 April lepas yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu, 9,972 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 3,669 orang pemilih bertukar status atau kategori pengundi.

Untuk semakan, beliau berkata SPR menyediakan lima kaedah iaitu melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my dan portal rasmi Pejabat-pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my.

Selain itu, semakan juga boleh dilakukan menerusi aplikasi dalam talian di https://myspr.spr.gov.my, aplikasi mudah alih MySPR Semak dan hotline SPR di talian 03-8892 7018.

“SPR menyeru kepada warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 30 April 2022 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN4/2022.

”Sekiranya mereka mendapati namanya tidak disenaraikan dalam DPT BLN4/2022, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C (tuntutan) melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan,” katanya.

Beliau berkata pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya dengan mengisi Borang D (bantahan) dan hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

“Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun dari portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN4/2022,” katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

864
Kongsi :
Previous post Terima suapan RM300, penjawat awam didakwa
Next post Penghantar makanan mengaku salah hantar gambar, video lucah di Instagram
Ubah saiz-+=