Dana akaun amanah berbaki RM15.76 bilion untuk tampung faedah hutang 1MDB – Tengku Zafrul

Masa Membaca:2 Minit, 13 Saat

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Dana akaun amanah masih berbaki sebanyak RM15.76 bilion termasuk hibah dan untung/rugi tukaran asing dan hanya mencukupi untuk menampung sebahagian besar prinsipal dan faedah hutang 1MDB pada tahun 2022 iaitu sebanyak RM16.18 bilion.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata bagi menampung kekurangan dana tersebut, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM1.53 bilion untuk tujuan pelunasan faedah hutang 1MDB pada tahun 2022.

Berdasarkan aliran tunai penyelesaian hutang 1MDB, jangkaan dana penyelesaian yang bakal diterima daripada AmBank adalah RM515 juta dan baki jaminan pemulihan aset oleh Goldman Sachs sebanyak kira-kira US$954 juta.

“Kerajaan masih perlu menampung kekurangan, atau shortfall keperluan dana sebanyak RM17 bilion bagi tujuan pelunasan baki prinsipal dan faedah hutang 1MDB sebanyak RM38.8 bilion untuk tempoh 2022 hingga 2039,” katanya semasa menjawab soalan pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Teks jawapan beliau dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Berikutan daripada masalah kewangan yang dihadapi 1MDB, Tengku Zafrul berkata kerajaan telah menyalurkan bantuan kewangan dalam bentuk pinjaman atau pendahuluan berjumlah RM10 bilion dari April 2017 hingga November 2021.

Dana itu disalurkan melalui Kementerian Kewangan dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) bagi tujuan bayaran komitmen dan faedah hutang 1MDB.

“Selain daripada bantuan kewangan langsung daripada kerajaan, faedah hutang 1MDB juga dibiayai dengan menggunakan dana pemulihan aset 1MDB yang diakaunkan di dalam satu akaun amanah di bawah Kementerian Kewangan yang diberi nama Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset,” katanya.

Setakat 28 Februari, 2022, jumlah dana pemulihan aset 1MDB yang telah berjaya didapatkan kembali adalah sebanyak RM19.14 bilion daripada beberapa mata wang asing termasuk dolar Amerika Syarikat, dolar Singapura dan dolar Australia.

Tengku Zafrul berkata dana ini telah dan akan digunakan bagi tujuan pembayaran hutang 1MDB di mana setakat 28 Februari 2022, sebanyak RM3.31 bilion telah digunakan untuk tujuan pelunasan faedah Bon/Sukuk 1MDB.

“Ini menjadikan jumlah pembayaran yang telah dibuat oleh kerajaan/ syarikat MKD adalah sebanyak RM13.31 bilion,” tambahnya.

Sementara itu, beliau berkata, jumlah keseluruhan pembayaran semula pinjaman yang dibayar kepada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) antara tahun 2014 sehingga 28 Februari 2022 adalah sebanyak RM5.06 bilion.

Menurutnya, jumlah bayaran tersebut adalah terdiri daripada RM314.72 juta yang dibayar oleh SRC International Sdn Bhd, manakala jumlah yang dibayar oleh kerajaan adalah sebanyak RM4.74 bilion.

“Jumlah ini adalah termasuk bayaran prinsipal, keuntungan dan ta’widh (gantirugi kepada peminjam akibat daripada kelewatan),” katanya.

Tengku Zafrul berkata pembayaran terakhir bagi pembiayaan daripada KWAP tersebut telah dijadualkan pada 28 Mac, 2022 yang berjumlah RM610.22 juta dan kesemua pembayaran yang dilakukan oleh kerajaan adalah daripada sumber kewangan kerajaan. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

708
Kongsi :
Previous post Usaha tingkat kualiti jalur lebar sedang dijalankan menerusi JENDELA – Annuar Musa
Next post MPAG lulus 10 Bazar Ramadan, dua Bazar Aidilfitri
Ubah saiz-+=