Dari Segamat ke Melaka cari kerja

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

AYER LIMAU 9 Jun – Sanggup memandu ratusan kilometer dari Segamat, Johor ke Ayer Limau, Masjid Tanah sebagai ikhtiar untuk mencari pekerjaan.

Itu yang dilakukan seorang wanita yang mahu ‘mencari angin’ baharu untuk berbakti di bumi Melaka.

Nor Atikah Yahaya, 35, menjadi antara ratusan pencari kerja yang hadir ke Karnival Kerjaya MyFuture Jobs Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bersempena Karnival Pendidikan dan Kerjaya TVET Peringkat DUN Ayer Limau di Dewan Tan Sri (Dr) Abu Seman, Paya Rumput, di sini, semalam.

Dia yang ditemani suaminya, Mohd Fakhrul Radzi Ariffin berkata, mereka memulakan perjalanan sejak awal pagi untuk menghadiri sesi temuduga terbuka yang ditawarkan daripada lebih 10 majikan yang menyertai karnival kerjaya itu.

“Selepas mengetahui peluang ini menerusi media sosial, saya merancang bersama suami untuk ke Melaka untuk mencuba nasib sebab sudah lama saya mengimpikan untuk bekerja di Negeri Melaka.

“Saya memilih Melaka sebab melihat aspek pembangunan dan prasarana yang disediakan mencukupi, malah banyak syarikat dan industri menawarkan peluang pekerjaan daripada pelbagai bidang untuk sesiapa sahaja.

“Alhamdulillah, saya melihat program seperti ini perlu dijadikan contoh oleh negeri lain kerana melihat penganjuran kali ini begitu sistematik dan teratur membuatkan ramai pemohon seperti saya dimudahkan dari segi dokumentasi dan temu duga yang diadakan secara langsung bersama majikan.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang berusaha melaksanakan program bermanfaat seperti ini dan berharap majikan yang terlibat sudi menimbang tara permohonan saya supaya saya menjadi sebahagian daripada rakyat yang akan berbakti di negeri ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Karnival yang dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh itu menerima sambutan hebat apabila disertai lebih 2,000 masyarakat setempat dan orang ramai dari dalam dan luar Melaka.

Malah, lebih 500 peluang pekerjaan dibuka dalam pelbagai bidang, selain pelbagai program lain seperti Jualan Rahmah dan pameran pendidikan turut diadakan.

Sementara itu, seorang lagi pencari kerja, Norhaizan Abdul Halim, 47, berpuas hati dengan penganjuran karnival berkenaan kerana selain berpeluang menghadiri temuduga terbuka, orang ramai juga boleh mendapatkan rundingan bersama Perkeso.

Dia yang menetap di Durian Tunggal berkata, penganjuran itu memudahkannya untuk melengkapkan dokumentasi selepas ditawarkan Pemberhentian Secara Sukarela (VSS) di sebuah kilang sebelum ini.

“Jadi bila ada program seperti ini saya tak perlu ke pejabat Perkeso kerana boleh secara terus berjumpa pegawai terlibat.

“Program seperti ini memang bermanfaat buat golongan pencari pekerjaan seperti saya kerana selain peluang pekerjaan kami juga akan diberi rundingan berkaitan isu pekerjaan yang dihadapi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

446
Kongsi :
Previous post Melaka tuan rumah Piala Emas Raja-Raja Edisi ke-102
Next post Mangsa kemalangan bas tidak sempat merasa pencen 7 Julai ini
Ubah saiz-+=