Sorting by

×

DERA BAYI: MELAKA CADANG KAUNSELING UNTUK IBU BAPA MUDA

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 9 Mei – Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Melaka bercadang untuk memperbanyakkan program kaunseling kepada pasangan ibu bapa muda bagi membantu menempuh kehidupan berumah tangga dengan lebih baik.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, usaha itu juga bertujuan untuk mengelakkan daripada berulangnya kes penderaan bayi seperti yang berlaku baru-baru ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan kejadian yang berlaku di Alor Gajah melibatkan pasangan berusia 22 tahun, baru-baru ini atas faktor kurangnya pendedahan mengenai ilmu keibubapaan sehinggakan mereka tergamak mendera anak yang baru berusia 2 bulan.

“Dahulu ramai ibu bapa berkahwin muda, namun persekitaran dan tekanannya berbeza dengan sekarang, jadi saya melihat adanya keperluan untuk kita mendidik pasangan muda agar dapat mengharungi kehidupan berkeluarga dengan lebih baik,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Penyerahan Plak Taska Berdaftar Negeri Melaka di Pejabat JKM Melaka Tengah di Wisma CMI, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau turut melawat bayi berkenaan yang ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Melaka, yang turut dihadiri Pengarah JKM Negeri Melaka Halyjah Muhamad.

Menurut Kalsom, bayi tersebut kini berada dalam keadaan stabil dan selepas ini akan dijaga oleh datuk kandungnya selepas ini.

Namun begitu, jelas beliau, sekiranya kes pengabaian atau penderaan kepada kanak-kanak yang tidak mempunyai waris sah, anak-anak itu akan ditempatkan di pusat jagaan khas iaitu di Rumah Kasih Tun Abdul Aziz, Durian Daun, Duyong.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1112
Kongsi :
Previous post POLIS BURU LIMA LELAKI MENYAMAR POLIS, SAMUN KELUARGA PESARA DI SEMENYIH
Next post LEBIH 500 PENIAGA, PENGAYUH BECA BANDA HILIR BERALIH KEPADA ‘CASHLESS’