Sorting by

×

‘DI BAWAH ATAP RUMBIA, LAHIRNYA KETUA MENTERI MELAKA KE-3’

Masa Membaca:2 Minit, 45 Saat

REMBIA 18 September – Terletak agak terpencil di dalam Kampung Baru, Alor Gajah, rumah kayu lama dengan struktur asal ini mungkin dianggap seperti kediaman tradisional biasa yang masih bertahan.

Namun siapa sangka, di sebalik teratak lama berusia lebih satu abad itu ia sebenarnya menyimpan kenangan dan sejarah lahirnya seorang insan yang pernah mentadbir dan memimpin Melaka suatu ketika dahulu.

Rumah kayu itu yang dahulunya hanya beratapkan rumbia adalah tempat kelahiran mantan Ketua Menteri Melaka ketiga iaitu Allahyarham Dato’ Talib Karim.

Dilahirkan pada 1 April 1911, Allahyarham merupakan anak jati Melaka yang pertama diangkat menjadi Ketua Menteri Melaka iaitu bermula 6 Oktober 1967 sehingga 31 Julai 1972 sebelum meninggal dunia pada usia 66 tahun.

Selain itu, Allahyarham juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Gajah, selain menjawat jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Difahamkan, rumah yang dibina oleh datuk dan nenek Allahyarham itu kini berusia 150 tahun dan meskipun dilihat semakin dimamah usia, namun ia kini masih dijaga rapi oleh waris terdekat keluarga itu.

Waris yang juga anak saudaranya, Safri Shafei, 78, berkata, di rumah itulah Allahyarham dibesarkan bersama tiga adiknya sebelum membuat keputusan ke Indonesia untuk belajar agama.

“Rumah ini asalnya hanya mempunyai satu ruang bilik sahaja manakala pelantar rumah yang menghubungkan bahagian depan ke dapur pula hanya berlantaikan buluh.

“Meskipun tidak lagi menghuni di situ selepas pulang dari Indonesia dan mula bergiat aktif dalam politik, sudah pasti rumah ini mempunyai nilai sentimental tersendiri.

“Meskipun ketika itu saya masih kecil namun saya tetap ingat ‘Pak Long’ bina ruang tengah beserta bilik untuk keselesaan kami yang menetap di rumah ini pada ketika itu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Rumah talib karim 2
SAFRI (kanan) bersama adiknya masih menjaga rumah pusaka tersebut.

Menurut pesara guru itu, meskipun berperwatakan tegas namun bapa saudaranya itu amat baik dan mementingkan pelajaran.

“Beliau amat mengambil berat perihal keluarga malah Pak Long jugalah yang meminta saya untuk ke sekolah Inggeris selain menawarkan diri menampung perbelanjaan sekolah.

“Meskipun beliau sudah tiada namun jasa dan baktinya sepanjang memegang tanggungjawab mentadbir Melaka akan terus diingati selain arwah juga amat disenangi oleh rakyat kerana sifatnya yang sederhana,” katanya.

Bercakap soal rumah pusaka itu, Safri berkata, walaupun banyak bahagian di dalam rumah itu sudah dibaik pulih, namun reka bentuk asal bercirikan rumah tradisional lama masih dikekalkan.

“Walaupun bahagian ‘rumah tua’ agak uzur dan dimakan anai-anai, rumah ini masih ada penghuni memandangkan adik saya ada menetap di sini untuk menjaga rumah,” katanya.

Tidak mahu kisah dan sejarah rumah ini terkubur begitu sahaja, pesara guru itu memaklumkan rumah tersebut kerap dijadikan lokasi berhimpun bersama saudara-mara, khususnya dalam majlis kenduri.

“Dua tahun lalu saya berjaya menghimpunkan kira-kira 200 orang ahli keluarga sehingga generasi ketiga termasuk dari Singapura berkumpul di sini bertujuan untuk berkongsi serba sedikit tentang sejarah rumah ini.

“Apabila ada saudara-mara jauh yang datang, mereka teruja melihat rumah tradisional seperti ini, justeru itu saya amat berharap agar kediaman ini dapat dikekalkan dengan bantuan pihak berkaitan,” ujarnya.

Safri berkata, suatu ketika dahulu Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) ada menyumbang sejumlah peruntukan bagi kerja-kerja baik pulih untuk memastikan keadaan rumah dapat dikekalkan.

“Jika ada cadangan untuk dijadikan mini muzium atau ruang pameran tentang Mantan Ketua Menteri ketiga, kami sekeluarga juga amat mengalu-alukannya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

766
Kongsi :
Previous post WTD 2025: TIGA BAS ULANG-ALIK DISEDIAKAN UNTUK PENGUNJUNG KE ENCORE MELAKA
Next post DUA BERANAK MAUT DIPERCAYAI KERACUNAN GAS DALAM KERETA