Didik pelajar istimewa bukan beban tetapi cabaran

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

AYER KEROH 23 Mei – Bukan mudah untuk mendidik pelajar yang memiliki kepelbagaian ketidakupayaan, namun bagi insan bergelar pendidik pastinya berdepan dengan cabaran berganda bagi memastikan pelajar istimewa ini mampu meraih kejayaan sebagaimana pelajar normal.

Bagi Nor Maziha Mohd Hassan, 50, beliau merupakan seorang guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Keroh dan telah mengajar pelajar istimewa sejak 23 tahun lalu.

Beliau yang juga Jurulatih Kebangsaan Pembuatan Roti berkongsi berkongsi kesemua 18 pelajar yang mengambil penilaian amali di sekolah terbabit lulus dan menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2.

“Sebenarnya apabila bergelar guru pendidikan khas ini, saya tidak mahu mendapat pengiktirafan dunia pun, cuma ingin terus berbakti kepada anak didik yang istimewa sehingga mereka menjadi insan yang berguna dan berjaya di sebalik kekurangan diri masing-masing.

“Mengajar pelajar-pelajar ‘khas’ ini memang mempunyai pelbagai ragam, namun jangan melihat itu satu bebanan tetapi melihat ianya sebagai cabaran untuk membentuk mereka menjadi manusia berguna dan mempunyai kelebihan yang dapat menyaingi insan normal.

“Saya faham kalau ramai yang tidak memandang pelajar ini, namun sebenarnya pelajar inilah yang paling berdisiplin dan mendengar kata,” katanya.

Bercerita lanjut, Nor Maziha berkata Majlis Graduasi Program Memacu Kecemerlangan Saluran Kerjaya (ProMKeSK) Pendidikan Khas Negeri Melaka sesi 2022/2023 adalah gabungan usaha guru-guru daripada enam Pusat Penilaian Amali (PPA) di negeri ini.

photo_2023-05-23_14-25-57 (2)
Graduan yang hadir sempena Majlis Graduasi Program Memacu Kecemerlangan Saluran Kerja (ProMKeSK) Pendidikan Khas Negeri Melaka Tahun 2022/2023 di Hotel Muzaffar, MITC, Ayer Keroh. Foto Iqmal Haqim Rosman

Jelasnya, tiada siapa yang mahu mengiktiraf kejayaan pelajar pendidikan khas dan mewujudkan majlis graduasi tersebut untuk menghargai pelajar istimewa tersebut.

“Sebagai guru yang mendidik pelajar-pelajar ini, kita kenal mereka daripada kosong sehinggakan menjadi mahir.

“Pelajar istimewa ini walau bagaimanapun mereka, kalau pandai ‘tackle’ insya-Allah mereka boleh dibentuk.

“Sebagai guru pembuatan roti, perkara paling asas saya ajar mereka ini adalah dengan membasuh pinggan, pusing tangan buat ’rounding’, itu kemahiran paling utama. Selepas itu ajar mereka cara mengambil bahan mengikut sukatan dan seterusnya.

“Dan di SMK Ayer Keroh, seramai 18 pelajar saya pada sesi kali ini semuanya lulus dan salah seorang pelajar adalah penerima Sijil Pelatih Terbaik, iaitu Mohd Aqil Firdaus Abdullah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1261
Kongsi :
Previous post TMM2024: Industri perhotelan mula rangka strategi
Next post Jom serbu Dataran Orang Kampung, Merlimau meriahkan sambutan Minggu Perpaduan
Ubah saiz-+=