Jom serbu Dataran Orang Kampung, Merlimau meriahkan sambutan Minggu Perpaduan

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

AYER KEROH 24 Mei – Sambutan Minggu Perpaduan peringkat negeri Melaka yang diadakan di Dataran Orang Kampung Merlimau bermula esok hingga Ahad ini mampu mencapai sasaran lebih 3,000 pengunjung terdiri dalam pelbagai kaum dan lapisan masyarakat.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, program yang diadakan di kawasan luar bandar itu memberi kelainan kerana lokasinya strategik untuk memudahkan orang ramai menyertai pelbagai aktiviti dianjurkan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Melaka

Katanya, sambutan itu turut mendapat kerjasama pelbagai agensi termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA); Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia (Peranakan).

“Kita jangkakan kira-kira 3,000 pengunjung hadir memeriahkan sekali gus menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum yang kaya dengan kepelbagaian adat dan budaya,” katanya pada sidang media pejabat JPNIN Negeri Melaka di sini, hari ini.

photo_2023-05-24_12-07-31
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem

Hadir sama, Pengarah JPNIN, Intan Suhana Yusuff.

Mengulas lanjut, Hee Sem berkata, sebanyak 17 aktiviti meliputi sukan, kebudayaan dan kesenian disediakan sepanjang tiga hari penganjuran yang boleh disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat.

“Antara aktiviti berkenaan termasuk, Jualan Rahmah yang menjual barangan dengan harga berpatutan selain Pertandingan Sukan Rakyat ‘Nostalgia Anak Kampung’; Dialog Perpaduan: Membangun Malaysia Madani yang bakal disertai oleh penuntut insitusi pengajian tinggi (IPT) di Melaka; Peragaan Busana Nyonya dan ‘Unity Night Fun Run’.

“Program berkenaan akan dirasmikan oleh saya sendiri dan turut dihadiri Timbalan Exco saya, Yang Berhormat Siti Faizah Abdul Azis pada Sabtu ini, jadi jom ramai-ramai memeriahkan sambutan berkenaan yang pastinya meraikan kepelbagaian adat dan budaya dalam kalangan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu Intan Suhana berkata, dalam aktiviti Sarapan Rahmah pada pagi Sabtu nanti, pihaknya mensasarkan pelbagai kaum dapat menyertai 300 pek sarapan percuma.

“Sekiranya cuaca mengizinkan, aktiviti Sarapan Rahmah itu akan dibuat secara piknik dan kita juga menjemput jentera perpaduan terdiri 252 KRT (Kawasan Rukun Tetangga), jadi kita libatkan semua.

“Kita juga hendak ‘highlight’kan untuk pertama kali, JPNIN Negeri Melaka menganjurkan aktiviti Jentera Perpaduan Melaka Berselawat pada malam Jumaat iaitu esok dengan penampilan penceramah bebas Ustaz Zul Ramli Mohamed Razali selain qasidah, yang mana kita sasarkan kira-kira 1,000 orang akan hadir memeriahkan aktiviti berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1874
Kongsi :
Previous post Didik pelajar istimewa bukan beban tetapi cabaran
Next post Sesi persekolahan 2024/2025 bermula Mac 2024
Ubah saiz-+=