TMM2024: Industri perhotelan mula rangka strategi

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

AYER KEROH 24 Mei – Rata-rata hotel di negeri ini sudah mula merangka stategi pemasaran masing-masing bagi menghadapi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Lantaran itu, pelbagai langkah diambil menerusi kerjasama antara pemain industri pelancongan bagi memastikan kehadiran pelancong yang berkunjung di negeri ini pada tahun melawat Melaka itu menerima manfaat daripada sektor terbabit.

Pengurus Hotel Seri Malaysia Melaka, Rahman Ross berkata, antara langkah yang diambil pengurusan hotelnya adalah akan memastikan beberapa pakej-pakej istimewa dengan harga menarik ditawarkan kepada pengunjung pada tahun hadapan.

Katanya, pihaknya akan bekerjasama bersama penggiat industri terutama agensi pelancongan terlibat bagi menawarkan pakej-pakej khas membabitkan perkhidmatan hotel dan lokasi menarik di negeri ini (untuk) disatukan.

“Kita juga sedang berdepan dengan beberapa seminar yang diadakan bagi mendapatkan satu kerjasama dengan agensi pelancongan untuk merangka setiap pakej yang ditawarkan.

“Bagi hotel kami yang mempunyai 99 bilik mensasarkan sebanyak 3,500 kemasukan pelancong sepanjang 2024 dengan sasaran pelancong dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, China, India dan Singapura.

“Dalam strategi lain kita juga akan mempromosikan tarikan makanan-makanan tradisi bagi memastikan hasrat TMM2024 dapat dilestarikan pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Peluang Kerjaya Dalam Sektor Perhotelan Bersama Institusi Pengajian Tinggi Di Melaka diadakan di Hotel Seri Malaysia, di sini.

photo_2023-05-23_15-47-19
Pengerusi Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia Melaka (MYBHA), Norsalenawaty Mohammad Salleh mengadakan sidang akhbar pada Program Peluang Kerjaya Dalam Sektor Perhotelan Bersama Institusi Pengajian Tinggi Negeri Melaka di Dewan Naning Hotel Seri Malaysia, Ayer Keroh, Melaka. Foto: MR. AZLI

Sementara itu, Pengarah Urusan Queenspark Lovita Hotel Melaka, Nursalenawaty Mohammad Salleh berkata, bagi berdepan dengan sambutan itu pihaknya akan memperkasa pelbagai latihan hospitaliti dalam kalangan pekerjanya.

Katanya, latihan terbabit penting sebagai persediaan mendepani kehadiran pelancong yang datang pada tahun hadapan.

“Latihan yang diberikan kepada pekerja ini telah dilaksanakan bermula tahun ini supaya apabila masuknya Januari tahun hadapan pekerja telah bersedia dengan pelbagai perkara.

“Antara latihan yang difokuskan adalah bagaimana cara untuk menyambut tetamu, menyelesaikan segala permasalahan tetamu, dan pelbagai persediaan lain untuk memastikan tetamu menginap di hotel kami.

“Apa yang kurang kita akan perbetulkan biarpun kita berdepan dengan kekurangan tenaga kerja kita akan pastikan setiap pekerja bersedia dan mempunyai sifat ‘multi-tasking’ dalam pekerjaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1631
Kongsi :
Previous post Kekurangan diri bukan penghalang terima sijil kemahiran
Next post Didik pelajar istimewa bukan beban tetapi cabaran
Ubah saiz-+=