Dinosaur Encounter di Zoo Melaka bakal cetus fenomena

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

BANDA HILIR 24 Dis. – Pembukaan taman tema Dinosaur Encounter di Zoo Melaka diyakini bakal mencetuskan fenomena baharu dalam menarik kehadiran pelancong ke Melaka pasca pandemik COVID-19.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali percaya pameran atau pertunjukan zoo antara yang terbesar di Asia Tenggara yang akan dibuka bermula esok (25 Disember) akan menjadi satu tarikan terbaharu yang boleh merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri ini.

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak Zoo Melaka bersama syarikat swasta yang bekerjasama mewujudkan Dinosaur Encounter dalam usaha mempergiatkan lagi produk-produk pelancongan baharu di Melaka.

“Saya berharap pertunjukkan dinosaur terbesar ini akan berupaya menarik lebih ramai pengunjung untuk hadir ke Zoo Melaka dan negeri Melaka amnya dalam usaha memulihkan sektor pelancongan yang sebelum ini terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Jadi, saya menyeru kepada semua pelancong tidak kira dalam atau luar Melaka untuk melihat sendiri pertunjukkan menarik mengenai dinosaur yang pernah wujud di muka bumi suatu ketika dahulu di Zoo Melaka ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meraikan wartawan dan pengamal media pada Malam Apresiasi Media yang dilangsungkan di Hotel Casa Del Rio, di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Sulaiman turut memberi bayangan akan ada lebih banyak produk pelancongan baharu diperkenalkan tahun depan untuk memberi lebih banyak pilihan kepada pelancong yang menjadikan Melaka sebagai destinasi percutian.

“Kini, banyak lagi produk-produk baharu sedang kita rancang dan terokai untuk memberikan lebih banyak pilihan kepada pelancong selain menikmati lagi produk pelancongan sedia ada di negeri ini,” katanya lagi.

Terdahulu, Melaka Hari Ini melaporkan Dinosaur Encounter yang dibangunkan dalam kawasan seluas 4 hektar dalam Zoo Melaka bakal dibuka secara rasminya pada 25 Disember.

Taman tema tersebut bakal menampikan sebanyak 100 spesies dinosaur daripada 11 keluarga berbeza yang akan dipamerkan secara robotik dan berbentuk interaktif kepada pengunjung.

Views:

2033
Kongsi :
Previous post Kedatangan pelancong ‘suram’ namun persiapan Krismas meriah
Next post Syor pinda SOP akad nikah di zon kuning – Rahmad
Ubah saiz-+=