Syor pinda SOP akad nikah di zon kuning – Rahmad

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

BUKIT KATIL 24 Dis. – Kerajaan negeri bercadang untuk meminda prosedur operasi standard (SOP) dengan membenarkan majlis akad nikah di kawasan zon kuning.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, sebelum ini, Melaka hanya membenarkan akad nikah dilakukan di kawasan zon hijau sahaja, manakala bagi bakal pengantin yang berada di zon kuning perlu menghadirkan diri ke pejabat agama di kawasan zon hijau untuk tujuan akad nikah.

Jelasnya, keputusan itu disyorkan memandangkan kes jangkitan COVID-19 di negeri ini masih terkawal dan ia tidak melibatkan sebarang jangkitan dalam komuniti.

“Peningkatan kes di Melaka lebih melibatkan banduan di Pusat Koreksional jasin dan Depoh Tahanan Imigresen. Kes dalam komuniti tidak ramai iaitu sekitar belas-belas sahaja yang mana boleh dikatakan semuanya berpuca daripada ketidak pekaan masyarakat apabila pergi ke negeri-negeri zon merah.

“Boleh dikatakan kebanyakan kes jangkitan tempatan ialah melibatkan kes import B iaitu, mereka yang menerima jangkitan dari luar Melaka.

“Jadi sebab itulah kita syorkan SOP baharu dengan membenarkan akad nikah di zon kuning kerana ia tidak melanggar SOP yang ditetapkan di peringkat persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program pembudayaan Norma Baharu bersama Jawatankuasa Masjid dan Pegawai Syarak Negeri Melaka di Auditorium Masjid Al Azim yang turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali.

Views:

461
Kongsi :
Previous post Dinosaur Encounter di Zoo Melaka bakal cetus fenomena
Next post COVID-19: 418 sampel Pusat Koreksional Jasin masih menunggu keputusan
Ubah saiz-+=