Kedatangan pelancong ‘suram’ namun persiapan Krismas meriah

Masa Membaca:2 Minit, 30 Saat

UJONG PASIR 24 Dis. – Perayaan Krismas yang disambut meriah pada setiap tahun dijangka ‘sunyi’ tahun ini berikutan tiada amalan kunjung-mengunjung sebagaimana tahun terdahulu.

Malah, keadaan Kampung Portugis juga agak lengang sehari sebelum menyambut perayaan itu berbanding saban tahun dahulu yang dipenuhi pengunjung yang mahu melihat sendiri masyarakat minoriti itu menyambut Hari Natal.

Bagi Marina Linda Danker, 54 seawal 17 Disember setiap tahun, upacara ‘Christmas Carols atau nyanyian lagu Krismas ketika lawatan dari rumah ke rumah sentiasa diadakan namun tahun ini masyarakat Kampung Portugis tidak berhasrat untuk menjadikannya sebagai amalan seperti tahun terdahulu.

Bagaimanapun katanya, acara keagamaan seperti bersembahyang di gereja masih berjalan seperti biasa namun lebih istimewa tahun ini masyarakat di kampung berkenaan turut akan mengadakan upacara itu secara atas talian yang boleh dihadiri oleh ramai penganut agama Kristian.

LUCY Danker, 81, menunggu kepulangan ahli keluarga sempena sambutan perayaan hari krismas di rumah tradisional portugis di Perkampungan Portugis, Ujong Pasir. Foto: MR. Azli

“Chapel (Gereja kecil) hanya boleh memuatkan sehingga 400 orang sahaja, namun dengan adanya skrin besar menerusi upacara atas talian, lebih 1,000 penganut Kristian boleh sertai.

“Apa yang kami ‘hilang’ tahun ini adalah ‘Christmas Carols’, kita pergi rumah ke rumah jiran tetanggan di kawasan sini dan menyanyikan lagu-lagu Krismas, namun demi kebaikan semua orang, kita tidak menganjurkan acara itu,” katanya ketika ditemui di kediamannya di kampung berkenaan, di sini hari ini.

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai kedatangan penunjung ke kampung berkenaan, Marina berkata, meskipun pergerakan rentas negeri boleh dilakukan, namun masyarakat di kawasan itu tidak membenarkan kunjungan pelancong ke dalam rumah bagi melihat sendiri persiapan menyambut Krismas demi keselamatan keluarga dan orang ramai.

“Kalau dulu, kita menerima kedatangan pelancong ke dalam rumah, namun tidak tahun ini kerana kita juga perlu menjaga keselamatan keluarga dan masyarakat di sini,” katanya.

Bagi Brian Franco, 46 mereka masih menerima kunjungan daripada saudara-mara yang mahu meraikan sambutan itu bersama-sama.

“Meskipun dalam norma baharu, namun kami mempunyai saudara-mara dari Kuala Lumpur yang akan menyambut perayaan itu bersama-sama,” katanya.

Bagi Philomena Anthony Muthu, 64 dia yang pernah tinggal di Kampung Portugis lebih 30 tahun dahulu selepas kematian suami kembali mengunjungi kawasan kampung itu bagi melihat sendiri persiapan yang disambut masyarakat di kawasan itu.

Ujarnya, dia berbangga kerana pembangunan di kawasan itu sudah jauh berubah berbanding ketika dia tinggal dan bersekolah di kampung itu.

“Berbeza dengan sambutan yang saya sambut pada tahun 80-an dahulu, tengoklah keadaannya sekarang pembangunan kampung semakin maju dan meriah.

“Walaupun COVID-19 melanda negara, namun saya datang semula ke sini dan mahu rasai sendiri kehangatan sambutan itu dan saya dapatkan rasakan meriah berbanding ketika saya tinggal di sini dahulu,” katanya.

Bagi Brian Franco, 46 dia yang anak pemilik kediaman tradisional masyarakat Portugis di kampung berkenaan mengurangkan had kunjungan orang ramai ke rumahnya berikutan pandemik COVID-19.

“Rumah tradisional ini sudah berusia lebih 30 tahun dan setiap tahun ramai pelancong mengunjungi rumah ini namun tahun ini kami mahu mengamalkan norma baharu demi keselamatan semua pihak,” katanya.

Views:

1602
Kongsi :
Previous post PPK Jasin sasar pelaburan RM1.5 juta
Next post Dinosaur Encounter di Zoo Melaka bakal cetus fenomena
Ubah saiz-+=