Sorting by

×

MAIM BANTU ASNAF BERDIKARI, JANA PENDAPATAN SENDIRI

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

BANDA HILIR 10 Jun – Asbab daripada bantuan disalurkan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menyuntik semangat buat keluarga asnaf mualaf ini untuk berdikari dan meningkatkan taraf ekonomi mereka.

Bagi mualaf Nur Liyana Karen Abdullah, 38, memeluk Islam sejak 17 tahun lalu menyifatkan bantuan yang diterima daripada MAIM sangat memberi impak besar dalam kehidupannya dan keluarga.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, bagi melihat asnaf berdikari MAIM memberikan galakan kepadanya untuk mengusahakan perniagaan secara kecil-kecilan, sekali gus menjana pendapatan sendiri.

“Sejak beberapa tahun lalu saya berniaga di bawah blok kediaman di Rumah Pangsa Banda Hilir. Alhamdulillah dan syukur terima kasih kepada MAIM yang tidak pernah berhenti menyokong serta membantu kami enam beranak yang tinggal di rumah ini.

“Sebagai penerima bantuan, saya menghargai dan berterima kasih kepada MAIM yang bukan sahaja menyalurkan bantuan bulanan malah saya juga dibantu untuk memulakan perniagaan.

“MAIM turut membantu daripada segi keperluan persekolahan anak-anak serta bantuan makanan yang banyak meringankan beban keluarga kami,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Program Ziarah Kasih Asnaf MAIM sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Banda Hilir baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Nur Liyana Karen berkata, sebagai keluarga yang bergantung kepada pendapatan hasil perniagaan kecil-kecilan dan pekerjaan suaminya sebagai pemandu lori ais bantuan diterima amat bermakna dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.

Tambahnya, pendekatan MAIM yang bukan hanya menyalurkan bantuan kebajikan tetapi turut memperkasakan ekonomi asnaf dan asnaf mualaf melalui sokongan memulakan perniagaan untuk keluar daripada kepompong kesusahan wajar diteruskan.

“Sedikit sebanyak hasil bantuan yang diterima dapatlah saya membayar rumah sewa ini dan mampu membantu menambah pendapatan keluarga sambil memastikan kebajikan serta pendidikan anak-anak terus terpelihara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

500
Kongsi :
Previous post SCAMMER TAWAR HARGA MURAH UNTUK PERANGKAP MANGSA
Next post 16 AGENSI KORPORAT SUMBANG ZAKAT PERNIAGAAN LEBIH 8 JUTA