Sorting by

×

SCAMMER TAWAR HARGA MURAH UNTUK PERANGKAP MANGSA

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

AYER KEROH 10 Jun – Tawaran barangan pada harga terlalu murah dikenal pasti sebagai modus operandi kerap digunakan sindiket penipuan dalam talian untuk memperdayakan mangsa hingga menyebabkan kerugian besar.

Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, akibat terlalu teruja, cepat terpengaruh dengan tawaran tidak masuk akal itu pula menjadi kelemahan mangsa.

Katanya, selain itu ada juga mangsa yang gugup, cemas hingga gagal berfikir secara rasional apabila berdepan ugutan daripada scammer yang menyamar sebagai penjawat awam atau sebagainya.

Menurutnya, meskipun memiliki pengetahuan mengenai modus operandi digunakan sindiket, namun pada hakikatnya masih ramai yang terpedaya apabila berdepan situasi sebenar.

“Apabila nampak tawaran murah, sepatutnya kita terus timbul syak wasangka. Begitu juga apabila menerima ugutan berkaitan pinjaman atau perkara lain, kita perlu sentiasa berhati-hati dan jangan mudah percaya.

“Masalah hari ini bukan kerana rakyat tidak mempunyai pengetahuan. Pengetahuan itu ada tetapi apabila tawaran datang mereka terlupa dan apabila menerima ugutan mereka menjadi takut lalu leka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Bengkel Pelaksanaan Kempen Kesedaran Jenayah Kewangan (Scammer) Negeri Melaka 2026 di sebuah hotel, di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Melaka Mazli Hamdan; Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Melaka, Khairul Nizam Mohd Mostar; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka Supritendan Eu Kee Leong serta Pegawai Perundangan/Naziran JSJK Melaka Asisten Superintendan Siti Rohayu Salih.

Mohd Noor Helmy berkata, cabaran utama kerajaan, agensi berkaitan dan pemain industri ketika ini adalah memastikan rakyat sentiasa mengingati risiko penipuan serta tidak hanya peka ketika kempen dijalankan.

Jelasnya, pendekatan baharu perlu diperkenalkan supaya mesej kesedaran dapat memberi kesan lebih mendalam dan kekal dalam ingatan masyarakat.

“Sebab itu kita perlukan kaedah baharu yang lebih berkesan supaya apabila mereka dengar, mereka akan sentiasa ingat untuk berhati-hati,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai bengkel berkenaan, beliau berkata tujuh pembentangan daripada kluster berbeza melibatkan murid sekolah rendah, pelajar sekolah menengah, mahasiswa IPT, golongan dewasa, sektor pekerjaan serta warga emas telah dikemukakan bagi mencari pendekatan terbaik menangani jenayah scam.

“Setiap kumpulan sasaran berdepan modus operandi penipuan yang berbeza, jadi pendekatan yang digunakan juga perlu berbeza.

“Tiada usaha yang salah. Yang penting kita laksanakan secara berterusan dan mana-mana pendekatan yang memberi impak akan diteruskan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

432
Kongsi :
Previous post MELAKA TERIMA KLINIK PERGIGIAN BERGERAK BERNILAI RM1.6 JUTA
Next post MAIM BANTU ASNAF BERDIKARI, JANA PENDAPATAN SENDIRI