PPK Jasin sasar pelaburan RM1.5 juta

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

JASIN 24 Dis. – Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Jasin menyasarkan peningkatan RM1.5 juta jumlah pelaburan tahunannya berbanding RM1 juta tahun ini.

Pengerusinya, Ahmad Baharuddin berkata, sasaran itu adalah hasil kerjasama kira-kira 3,500 ahli yang membuat pelaburan di samping membantu menambah jumlah keahlian pertubuhan berkenaan.

“Menerusi penyertaan ahli terdiri daripada golongan peladang dan petani, kita sentiasa berusaha memastikan setiap pelaburan akan memperoleh hasil lumayan setiap tahun.

“Hari ini hasil pelaburan kita beri balik kepada semua ahli walaupun ada dalam kalangan mereka hanya melabur RM150, tetapi mereka memperoleh RM200,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan modal niaga dan bantuan khemah niaga di Perkarangan PPK Jasin, hari ini.

Jelasnya, pihaknya mengumpul semua saham ahli untuk dihantar ke peringkat negeri dan Pusat melalui Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

“Ia akan dilaburkan menerusi perniagaan dalam pelbagai sektor bagi membolehkan keuntungan yang diperoleh itu diberikan semula kepada pelabur.

“Saya yakin NAFAS di bawah kepemimpinan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dan Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Hamzah, NAFAS akan memperoleh keuntungan lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Majlis itu disempurnakan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ghazale Muhammad merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim.

Pada majlis itu, seramai 150 ahli menerima zakat daripada NAFAS yang diuruskan PPK Jasin, 10 peladang menerima modal RM1,000 bagi aktiviti pertanian dan perladangan serta 10 peniaga baharu menerima khemah perniagaan.

Views:

1037
Kongsi :
Previous post PPK Jasin bantu 10 peniaga baharu
Next post Kedatangan pelancong ‘suram’ namun persiapan Krismas meriah
Ubah saiz-+=