Ditipu ejen lebih RM30,000, bapa buntu dua anaknya tidak miliki sijil lahir

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

PULAU GADONG 14 Jun – Seorang bapa mendakwa terkilan tidak mampu mendapatkan rawatan terbaik untuk anak perempuan sulungnya di hospital kerajaan sebelum meninggal dunia akibat penyakit leukemia Februari lalu.

Kini, Tan Che Kian, 36, buntu memikirkan nasib dua lagi anaknya masing-masing berusia tiga dan enam tahun kerana tidak mempunyai dokumen sama.

Katanya, dia berkahwin dengan wanita Vietnam, Lam Thie Kieu Nhi, 28, dan dikurniakan tiga cahaya mata berusia tiga hingga tujuh tahun, namun anak sulungnya, Tan Fei Wen disahkan menghidap penyakit itu sejak dilahirkan sebelum meninggal dunia beberapa hari sebelum Tahun Baru Cina lalu.

CHE KIAN.

Katanya, sejak anaknya dilahirkan dia cuba mendapatkan rawatan di hospital kerajaan kerana tidak mampu membiayai kos rawatan penyakit anaknya itu, namun gagal berikutan anaknya tidak mempunyai sijil kelahiran atau MyKid.

“Setiap kali anak saya perlu dimasukkan ke wad hospital, doktor memaklumkan selagi saya tidak menyediakan wang deposit sebanyak RM2,000, Fei Wan tidak boleh mendapatkan rawatan kerana tidak mempunyai sijil lahir.

“Saya terkilan kerana saya tidak mampu memberikan terbaik untuknya dan setiap kali mengenangkan keletahnya yang bijak dengan mendengar kata, saya jadi sedih.

“Jadi, saya nekad untuk mendapatkan sijil lahir buat dua lagi anak saya, Yong Shan dan Yong De supaya masa depan mereka lebih terjamin dan mudah untuk mendapatkan rawatan kesihatan dan pendidikan sempurna,” katanya ketika ditemui di rumah ibunya, di Kampung Setulang Daeng, Pulau Gadong di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Che Kian berkata, dia pernah berusaha untuk mendapatkan sijil kelahiran ketiga-tiga anaknya yang lahir di Sungai Buloh, Selangor sebelum ini menerusi ejen, namun sehingga kini tiada sebarang berita, malah kerugian lebih RM30,000.

Susulan pandemik COVID-19 yang melanda negara tahun lalu, dia berkata dia turut hilang punca pendapatan sebelum pulang ke rumah ibunya di kampung berkenaan untuk meneruskan hidupnya sekeluarga sejak tujuh bulan lalu.

CHE KIAN bersama isteri dan dua anaknya yang tidak mempunyai sijil kelahiran

“Selepas anak saya meninggal dunia, saya memohon bantuan Setiausaha Khas Hal Ehwal Masyarakat Ketua Menteri, Yong Fun Juan bagi membantu untuk mendapatkan sijil kelahiran kerana anak saya yang kedua bakal memasuki sekolah rendah tahun hadapan,” katanya.

Sementara itu, Fun Juan berkata, pihaknya sudah memaklumkan mengenai kes itu kepada Pengarah Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) Melaka dan agensi itu juga telah menyerahkan borang bagi membolehkan keluarga Che Kian melengkapkan urusan dokumentasi yang dikehendaki.

“JAPERUN (Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri) Kesidang akan membuat ‘follow-up’ mengenai perkara itu dan pihaknya akan melaksanakan urusan itu mengikut undang-undang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1144
Kongsi :
Previous post Jabatan Perikanan tahan empat nelayan
Next post PdPR: Calon SPM 2021 paling terkesan
Ubah saiz-+=