DM Mart platform pacu pasaran produk PKS

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

BUKIT BERUANG 14 April – Kedai serbaneka DM Mart yang pertama ditubuhkan di bawah Yayasan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) komited akan menjadi sebuah platform memacu pasaran produk Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) sekali gus memperkasa pasaran bumiputera di beberapa negara terlibat.

Pengusaha DM Mart Bukit Beruang, Datin Seri Azreen Abu Noh berkata, usaha melebarkan lagi sayap dengan menambahkan beberapa cawangan di Melaka dan ibu negara sudah pasti mampu memperluaskan pasaran PKS dihasilkan negeri ini.

“Setakat ini di Melaka mempunyai tiga cawangan iaitu di Kota Cemerlang, Ayer Keroh; Jalan Hang Tuah dan di Bukit Beruang, selain akan menyasarkan lagi enam cawangan lain dengan tiga lagi di Melaka dan selebihnya di sekitar Kuala Lumpur.

“Kita membuka peluang kepada pengusaha perusahaan kecil di negeri ini yang ingin memperluaskan perniagaan mereka menerusi kami dan kami juga bersedia membantu membimbing mereka seperti pensijilan halal serta pelbagai lagi demi memperluaskan perniagaan.

“Peniaga yang terlibat juga mempunyai peluang untuk diperluaskan ke pasaran negara lain yang mempunyai jaringan kerjasama strategik menerusi DMDI seperti negara Kemboja, Singapura serta pelbagai lagi.

“Kedai serbaneka ini mempunyai konsepnya tersendiri kepada pelanggan di luar sana malah telah menunjukkan keuntungan positif sekali gus mensasarkan nilai jualan RM1 juta pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Sumbangan ‘Beg Terkejut’ Ramadan dan agihan bubur lambuk di Bukit Beruang di sini, hari ini.

Hadir sama EXCO Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Datuk Kalsom Nordin.

Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan, Datuk Kalsom Nordin (tiga dari kanan) bersama Pengusaha DMmart, Datin Seri Azreen Abu Noh (dua dari kiri) mengacau bubur lambuk pada Program Ramadan Kareem di DMmart Bukit Beruang, Melaka. Foto: MR. Azli

Beliau berkata, sumbangan yang diberikan itu tidak memfokuskan kepada golongan sasar bagaimanapun ia diberi kepada komuniti setempat secara pandu lalu membabitkan bantuan kit makanan tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang.

Ujarnya, setiap cawangan mempunyai misi bantuan yang berbeza bagi membantu komuniti setempat yang kini berada dalam kehidupan pasca penularan pandemik COVID-19.

“Seperti di Bukit Beruang kita akan menambahkan lagi ‘Beg Terkejut’ ini dari semasa ke semasa kerana kawasan ini dihuni rata-rata pelajar, pekerja buruh dan penduduk setempat dan berpeluang menerima bungkusan ini secara pandu lalu.

“Malah seperti di Kota Cemerlang bantuan diagihkan secara ‘food bank’ kepada masyarakat di komuniti kawasan itu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2091
Kongsi :
Previous post SUKMA XX: Melaka dijangka hantar 500 atlet
Next post TYT, 600 jemaah hadiri Bacaan Yasin Perdana MBMB
Ubah saiz-+=