Doakan adik Ayu Umairah…

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

KLEBANG 27 Nov – “Sebagai seorang ibu, tersentuh serta sedih apabila melihat keadaannya dan harapan saya mahu melihat dia sembuh,” luah Norhayati Mohamad, 41.

Menurut ibu kepada Ayu Umairah Mohd Zamberi, 3 tahun, anak bongsunya itu disahkan menghidap ketumbuhan di bahagian kepala sejak berusia tiga bulan.

Katanya, selepas dilahirkan anak keempatnya itu seperti bayi normal yang lain sehinggalah usianya mencecah tiga bulan apabila menunjukkan perubahan.

“Selain berat badan menurun, muka dan dahinya mula membengkak selain mata kanan menjadi berair.

“Selepas melakukan pemeriksaan dan menjalani CT Scan (ujian imbasan tomografi berkomputer), doktor kemudian mengesahkan ada ketumbuhan di kepala Umairah yang menghimpit saraf antara mata dan otak,” katanya.

Menurut Norhayati, ketumbuhan anaknya itu semakin membesar dan matanya juga turut membengkak.

Katanya, buat waktu ini dia perlu berulang-alik dari Melaka ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan susulan anaknya kerana doktor belum memutuskan sebarang prosedur untuk menjalani pembedahan.

“Apabila perlu ulang-alik sudah pasti memerlukan perbelanjaan yang tinggi, itu yang membebankan saya kerana kami tidak mempunyai kenderaan.

“Sebelum ini kami berdua pernah menaiki bas dari Melaka ke HKL. Saya hanya bekerja sebagai pembantu kedai dengan upah harian RM50, suami pula tidak dapat bekerja kerana menghidap penyakit tibi,” katanya.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang Datuk Lim Ban Hong, meluangkan masa melawat Ayu Umairah di rumahnya, di Pulau Gadong, di sini.

ADIK Ayu Umairah bersama Ban Hong menunjukkan tanda bagus.

Ban Hong berkata, pihaknya akan merujuk dengan doktor pakar yang terbabit bagi mendapatkan status terkini mengenai rawatan dan prosedur pembedahan yang akan dilakukan.

“Saya diberitahu Ayu Umairah perlu ke HKL pada 13 Disember depan, jadi saya hulurkan bantuan awal berjumlah RM1,000 dan akan cuba membantu kos bagi rawatan seterusnya.

“Kita harapkan rawatan akan dipercepatkan kerana keluarga menyuarakan rasa bimbang sekiranya pembedahan lambat akan beri kesan kepada penglihatannya,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional 0499541100079474 atas penama Norhayati Mohamad.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

959
Kongsi :
Previous post Pertingkat kerjasama erat Melaka-Terengganu – Sulaiman
Next post Maszlee sah sertai PKR
Ubah saiz-+=