Dondang sayang ‘Meenachi’ dalam kenangan

Masa Membaca:2 Minit, 10 Saat

GAJAH BERANG 6 Jun – “Sejak kecil mak memang dah belajar berpantun sebab itu ilmu’ pantun dondang sayang ini memang sentiasa dalam kepalanya. Spontan sahaja rangkap pantun itu dapat dilontarkan.

“Pernah sekali tu dia masuk hopital dan jururawat bagitahu dia sempat berbalas pantun semasa dengan mereka walaupun dalam keadaan sakit,”

Itu luahan P Amuda, 55, anak kepada mendiang ikon dondang sayang daripada masyarakat Chetti Melaka, G Meenachi, 91 yang disahkan meninggal dunia akibat sakit tua di Hospital Melaka jam 7.18 malam.

KENANGAN gambar Amuda bersama ibunya Meenachi.

Amuda berkata, sejak remaja ibunya sudah mula memasuki persatuan untuk menerapkan budaya berpantun serta dondang sayang.

“Mak memang minat dondang sayang sejak kecil, masuk persatuan sehinggakan pantang sahaja ada ‘roadshow’ dia pasti akan menyertainya.

“Tapi sayangnya, kami anak-anak seramai enam orang yang mana paling tua berusi 60 tahun (sudah meninggal) dan bongsu berusia 54 tahun tiiada yang mewarisi minatnya itu.

“Kami nak karang pantun dua kerat pun susah, tapi mak semua dah ada dalam kepala dia, spontan sahaja keluar dari mulutnya,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di rumahnya di Kampung Chetti, di sini hari ini.

Terkenal dengan gelaran Meenachi, mendiang bukan sahaja meninggalkan kenangan buat keluarganya, malah penduduk di kawasan itu yang turut sama merasai kehilangannya.

“Mak kiranya orang paling tua dan menjadi ikon di Kampung Chetti ini, jadi bila dia tiada budaya atau warisan ini mungkin terasa kekurangan di kampung ini.

“Selepas ini, tinggallah kami lima beradik dan harapnya adalah mungkin empat orang cucu mak boleh meneruskan minatnya itu,” katanya sambil menambah bapa mereka A Sathasisivampillay meninggal pada tahun 1977.

GAMBAR semasa perkahwinan Meenachi dan suami Sathasisivampillay.

Mengulas mengenai pengebumian mendiang, Amuda menjelaskan keluarganya masih menanti keputusan dari pihak hospital.

” Mak yang sakit tua disahkan meninggal dunia semalam setelah mengadu sesak nafas pada jam 1 tengah hari selepas makan tengah hari.

“Masih ada beberapa prosedur yang perlu dilakukan. Bagi pengebumian mengikut adat Hindu, upacara pembakaran perlu diadakan antara pukul 1 hingga 3 petang ini. Jika tidak sempat, kita akan lakukan pengkebumian esok,” katanya.

Untuk rekod, mendiang yang dilahirkan pada 4 Januari 1930, adalah keturunan Chetti Melaka dan amat fasih dalam bahasa Melayu dan tidak mahir dalam bahasa Tamil.

Dondang sayang adalah sejenis nyanyian pantuan yang popular dalam kalangan masyarakat Melayu dan Cina Peranakan di Melaka yang dikatakan bermula pada zaman Kesultanan Melayu Melaka sekitar kurun ke-15.

Setiap persembahan dondang sayang diminati oleh beberapa golongan masyarakat seperti Melayu, Cina Peranakan, India, dan Portugis terutamanya di Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1029
Kongsi :
Previous post Lebih 70,000 guru di seluruh negara telah divaksin
Next post MAFI saran kaedah pengasapan elak lembu dijangkiti LSD
Ubah saiz-+=