MAFI saran kaedah pengasapan elak lembu dijangkiti LSD

Masa Membaca:2 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 6 Jun – Semua penternak lembu di negara ini disaran mengguna pakai kaedah pengasapan di ladang ternakan bagi mengelak jangkitan penyaki kulit kental atau berbonjol (LSD) daripada terus merebak di negara ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 (MAFI), Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, pemilik ladang perlu menitikberatkan sistem penjagaan rapi dengan mengutamakan kebersihan di kawasan ladang dengan pemantauan berterusan daripada Jabatan Perkhidmatan Verterinar (JPV) berikutan penyakit yang merebak di seluruh Asia terutama India, Bangladesh, China dan Nepal.

Jelasnya, setakat ini dua buah negeri membabitkan Selangor dan Perak telah merekodkan jangkitan terbabit dengan bawaan virus daripada spesies nyamuk memerlukan pengawasan rapi agar ia tidak merebak ke seluruh negara.

“Penternak di negeri yang terlibat telah melaksanakan pengasingan sebelum dimusnahkan dan ladang yang terlibat kini berada dibawah pengawasan rapi JPV di mana tiada ternakan dibenarkan keluar ataupun dijual sehingga pengesahan dan kebenaran diluluskan jabatan itu.

“Lembu yang menghidap LSD akan mengalami bengkak dengan benjolan di seluruh kulit dan akan menjadi serius jika tidak diawasi sepenuhnya bagaimanapun penyakit yang merebak ini tidak berjangkit kepada manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan bekalan buah-buahan dan bantuan selimut menerusi Program MAFI Prihatan diadakan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MiTC) di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Malaysia, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli dan Ahli Lembaga Pengarah FAMA negeri Datuk Ghazalee Muhammad serta tetamu lain.

Mengulas lanjut Ahmad berkata, mana-mana pihak termasuk penternak atau pun peraih ternakan yang didapati melanggar syarat yang dikeluarkan boleh dikenakan tindakan dibawah Akta Binatan 1953 (Pindaan 2013).

“Malah, bagi memastikan ia tidak terus merebak Kementerian juga telah mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) bagi melakukan kawalan dan pemeriksaan di pintu masuk sempadan negara bagi memastikan haiwan ternakan itu sihat dan selamat sebelum memasuki negara ini,” katanya.

Semalam Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Che Abdullah Mat Nawi dilaporkan berkata MAFI melalui JPV telah mengetatkan syarat import lembu hidup dari luar negara bagi mencegah penularan penyakit LSD.

Malah MAQIS juga katanya telah diminta memperkemaskan kawalan di pintu masuk negara dan mengambil tindakan ke atas mana-mana lembu import yang menunjukkan gejala penyakit LSD di setiap stesen kuarantin.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, negara masih mengalami kekurangan bekalan stok daging dan kini masih bergantung kepada kemasukan bekalan daging import masuk ke negara ini.

Jelasnya, kekurangan itu menyebabkan negara terpaksa bergantung sebanyak 70 peratus kadar kemasukan bekalan itu dan selebihnya adalah bekalan yang dihasilkan dalam negara.

“Kerajaan akan menjalankan pelbagai kaedah dan cuba sedaya upaya bagi meningkatkan penghasilan bekalan itu agar Kadar Sara Diri (SSL) negara mampu mencukupi dan tidak bergantung kepada bekalan import suatu hari nanti.

“Bekalan daging yang dihasilkan negara masih berkurangan menyebabkan kita terpaksa mengimport daging-daging daripada luar namun disebalik itu bagi bekalan ayam di negara ini pula berada pada kadar positif dan membolehkan kita mengeksport bekalan ayam ke luar negara,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

617
Kongsi :
Previous post Dondang sayang ‘Meenachi’ dalam kenangan
Next post 42 PST bantu pekebun pasarkan hasil pertanian sepanjang ‘lockdown’
Ubah saiz-+=