42 PST bantu pekebun pasarkan hasil pertanian sepanjang ‘lockdown’

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

AYER KEROH 6 Jun – Sebanyak 42 Pasar Segar Terkawal (PST) telah beroperasi seluruh negara bagi membantu petani memasarkan produk dalam tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh atau ‘lockdown’ di seluruh negara sehingga 14 Jun ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 (MAFI), Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, inisiatif dilaksanakan itu sekali gus memastikan bekalan mampu memenuhi permintaan dalam tempoh sukar itu.

Jelasnya, PST yang ditubuhkan beroperasi di seluruh negara sehingga 4 Jun lalu telah berjaya merekodkan nilai jualan sebanyak RM18.9 juta dan sebanyak 8,281 surat pergerakan telah dikeluarkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi memberi kemudahan kepada usahawan dan pekebun bagi memasarkan hasil tani mereka.

“Di Melaka kita telah menjalankan dua PST yang beroperasi secara ‘pre-order’ membabitkan lokasi di Pusat Operasi FAMA Ayer Keroh dan Kompleks Japerun Rim.

“Dianggarkan seramai 60 usahawan dan petani di negeri ini telah menerima manfaat dan kebenaran operasi di PST bagi membantu mereka memasarkan bekalan pertanian yang dihasilkan sendiri.

“Bagi memastikan kelancarannya FAMA jug telah mewujudkan Bilik Gerakan ‘Crisis Management Centre’ yang beroperasi dari 8 pagi hingga 7 petang bagi membantu petani yang menghadapi masalah pemasaran dengan melayari portal ‘FAMA Feedback System’ atau boleh menghubungi secara terus di CMC Pejabat FAMA Melaka di talian 019-747 6753/ 013-377 7100/ 010- 763 2684,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan bekalan buah-buahan dan bantuan selimut menerusi Program MAFI Prihatan diadakan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli, Ahli Lembaga Pengarah FAMA negeri Datuk Ghazalee Muhammad serta tetamu lain.

Menerusi program itu jelasnya, MAFI telah melaksanakan pengagihan sumbangan itu secara berperingkat di seluruh negara bagi memberi penghargaan kepada pejuang barisan hadapan dan pesakit COVID-19 berdepan dengan wabak itu.

“Hari ini, kita memilih PKRC MITC bagi mengagihkan 1,200 pek buah-buahan segar buat pesakit dan barisan hadapan yang ditugaskan di kawasan ini.

“Malah dalam program ini juga menerusi peruntukan Parlimen Jasin turut menambah lagi 500 helai selimut di mana sebelum ini 300 selimut telah disumbangkan ke PKRC MITC untuk digunapakai pesakit di sini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

479
Kongsi :
Previous post MAFI saran kaedah pengasapan elak lembu dijangkiti LSD
Next post ‘Ianya 20 hari yang menyeksakan’
Ubah saiz-+=