‘Ianya 20 hari yang menyeksakan’
TANJUNG BIDARA 6 Jun – Tempoh 20 hari terpaksa berkurung berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Kampung Lubuk Redan, di sini diibaratkan satu pengalaman yang menyeksakan.
Penduduk, Alif Haikal Mohd Zamri, 18, berkata tempoh berkenaan amat mencabar mindanya kerana sebelum itu dia bebas bergerak ke mana sahaja.
Mujurlah katanya, satu-satunya pengubat kebosanan ialah apabila dapat mengikuti datuknya berusia 60 tahun ke kebun untuk menanam serai dan ubi kayu.
“Saya tolong datuk menebas rumput dan lalang, selain menjaga pokok serai dan ubi kayu, dapatlah juga mengubati kebosanan terkurung,” katanya ketika ditemui di kampung itu hari ini.
PKPD di kampung itu dilaksanakan dari 16 Mei lalu hingga semalam berikutan kes COVID-19 yang menular dan menyebabkan kebanyakan daripada 531 penduduk yang menghuni 151 rumah dijangkiti pandemik itu.
Alif Haikal berkata, selepas 20 hari terkurung akibat PKPD, dia menghadapi masalah tidur malam kerana sering tidur pada sebelah siang.
“Keadaan hidup saya sama sekali berubah dan tidur saya pun menjadi tak tentu arah kerana asyik terkurung dalam rumah bersama datuk, ibu, abang saudara,abang dan adik.
“Seksanya bukan setakat kehilangan pendapatan sebagai mekanik
kereta, malah juga emosi ‘diseksa’ kerana tidak dapat berbuat apa-apa,” katanya.
Alif Haikal berkata, abang saudaranya dan abangnya disahkan positif COVID-19 dan ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh selama 10 hari sebelum dibenarkan pulang kelmarin.
“Sepanjang tempoh PKPD, saya, datuk, ibu dan adik perempuan terpaksa menjalani ujian calit sebanyak empat kali dan Alhamdulillah, kami disahkan negatif.
“Abang saudara dan abang saya tidak ada gejala tetapi mereka disahkan positif COVID-19,” katanya.