‘Bantuan MAIM sangat bermakna untuk kami’ – Penerima

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

PANTAI KUNDOR 6 Jun – Bantuan Kit Makanan Kecemasan (Musa’adah) Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) amat membantu meringankan beban penerimanya yang terkesan akibat COVID-19.

Pengerusi Masjid al-Mohsinin, Kampung Pantai Kundor, Tanjung Kling, di sini, Rahmad Bakar, 58, berkata meskipun bahan makanan itu tidak banyak, ia amat berharga bagi membantu anak kariah menghadapi cabaran hebat meneruskan kehidupan ketika pandemik ketika ini.

“COVID-19 bukan setakat mengancam nyawa, malah sumber pendapatan anak kariah kerana ada yang kehilangan pekerjaan, selain ada yang hanya menerima separuh gaji akibat tempat kerja mereka mengurangkan pekerja dan upah.

“Walaupun setakat ini belum ada anak kariah kelaparan akibat ketiadaan beras atau barang makanan yang lain, COVID-19 sememangnya mengancam sumber pendapatan sesetengah anak kariah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima 10 kit makanan itu daripada petugas Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Pantai Kundor di masjid itu hari ini.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pantai Kundor, Md Yassin Suilaiman, 62, berkata walaupun dari perspektif mereka yang berpendapatan tinggi, sumbangan itu disifatkan kecil, ia tetap besar maknanya kepada golongan yang terkesan dengan pandemik itu.

“Ada anak kariah yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang yang amat memerlukan kit makanan itu.

“Kami bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada MAIM kerana menghulurkan sumbangan yang amat bermakna ini,” katanya.

Timbalan Pengerusi MAIM, Datuk Md Rawi Mahmud baru-baru ini dilaporkan berkata, organisasi itu menyediakan 10,000 kit makanan berkenaan yang bernilai RM400,000 bagi membantu rakyat yang terjejas akibat COVID-19.

Kit berisi bahan makanan asasi seperti beras, gula, tepung, susu, sardin, garam, biskut, kopi dan minuman kordial itu diedarkan kepada JAPERUN di seluruh negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1134
Kongsi :
Previous post ‘Ianya 20 hari yang menyeksakan’
Next post KKM mula uji Ivermectin ke atas pesakit COVID-19 berisiko tinggi – Dr Noor Hisham
Ubah saiz-+=