Dr Mahathir masih jalani proses rawatan pemulihan di IJN

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

KUALA LUMPUR, 4 Feb – Tun Dr Mahathir Mohamad masih menjalani proses rawatan pemulihan di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, menurut Pejabat Tun Dr Mahathir.

Pejabat itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan bekas Perdana Menteri itu telah dibenarkan pulang ke rumah pada 2 Feb lepas dan kemudian kembali ke IJN untuk menjalani sesi fisioterapi dan prosedur perubatan lanjut.

“Yang Amat Berbahagia Tun (Dr Mahathir) dan Yang Amat Berbahagia Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali turut menyampaikan ucapan terima kasih atas doa, ucapan selamat, kiriman bunga dan kad ucapan dari orang ramai,” menurut kenyataan tersebut.

Pejabat itu turut memaklumkan Dr Mahathir akan terus menjalani rawatan pemulihan dan ketika ini masih dinasihatkan untuk tidak menerima kunjungan pelawat.

Pada 26 Jan, Datin Paduka Marina Mahathir memaklumkan keadaan kesihatan bapanya itu semakin pulih dan telah dipindahkan ke wad biasa.

Pada 22 Jan juga, Marina dalam kenyataan memaklumkan bahawa keadaan Dr Mahathir stabil dan memberi respons yang baik kepada rawatan lanjutan prosedur elektif yang dijalankan 8 Jan lepas.

Sebelum ini, Dr Mahathir dimasukkan ke IJN pada 7 Jan bagi menjalani prosedur perubatan elektif sehari selepas itu dan dibenarkan keluar pada 13 Jan.

Sementara itu menerusi satu video yang dimuat naik di laman YouTube hari ini, Dr Mahathir memaklumkan sendiri bahawa beliau masih belum pulih sepenuhnya, dan berulang-alik ke rumah dari hospital setiap hari.

“Saya balik daripada pagi sampai petang, lepas tu saya balik ke hospital kerana masih ada prosedur yang mereka ingin teruskan.

“Saya ucap terima kasih kepada semua pihak yang telah berdoa untuk pemulihan saya, ramai yang hantar bunga, kad dan sebagainya, untuk itu saya ucap terima kasih,” katanya.

Justeru, Dr Mahathir berharap supaya beliau akan pulih sepenuhnya dalam masa terdekat dan sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesihatan beliau kembali pulih.

Video berdurasi 1 minit 15 saat berkenaan turut memaparkan Dr Mahathir pulang ke rumah sambil ditemani dan minum bersama Dr Siti Hasmah, selain membaca surat khabar. -BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1217
Kongsi :
Previous post Pengambilan tembakau antara faktor sebabkan kematian akibat kanser – Khairy
Next post Lapan langkah strategik penambahbaikan pengurusan bencana negara – Ismail Sabri
Ubah saiz-+=